Nasional

Menteri Luar panggil Duta China jelaskan pesawat ceroboh Malaysia

KEMENTERIAN Luar Negeri akan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia berikutan pencerobohan 16 pesawat tentera negara itu di ruang undara negara semalam.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia juga akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada Kerajaan China.

“Kementerian Luar Negeri merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenai pencerobohan 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China ke dalam ruang udara Malaysia di atas Zon Maritim Malaysia (ZMM).

“Berdasarkan laporan yang diterima daripada TUDM, Kementerian ini akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik atas pencerobohan ini kepada Kerajaan Republik Rakyat China.

“Kementerian ini juga akan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China ini,” kata Hishammuddin.

Selain itu, Hishammuddin akan menyampaikan secara terus kegusaran yang disifatkan sebagai serius kepada Menteri Pertahanan China berhubung tindakan tersebut.

Malaysia menurut Hishammuddin tidak akan sama sekali berkompromi terhadap pencerobohan ruang udara negara walaupun Malaysia mempunyai hubungan mesra dengan negara terbabit.

“Di samping itu, saya juga akan menyampaikan kegusaran serius Malaysia mengenai perkara ini kepada rakan sejawat saya di China.

“Pendirian Malaysia sangat jelas – mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak sekali kali bermaksud bahawa kita akan kompromi tentang keselamatan negara kita.

“Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.

Semalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional.

Penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Pesawat bekenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

“Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ackbal berkata, pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR.

Seterusnya pesawat tersebut terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.-SM

(Visited 106 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button