MahkamahNasional

Pembantu rumah warga Indonesia dipenjara dua tahun sebabkan kematian  bayinya

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang pembantu rumah yang berhadapan dengan pertuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya. Keputusan mahkamah dibuat atas kesalahan dengan cuai menyebabkan kematian bayi tersebut.

Hakim Mohd Yazid Mustafa menjatuhi hukuman itu terhadap Welmince Alunat, 40, selepas wanita itu mengaku bersalah atas perbuatan tersebut.

Hakim Mohd Yazid membuat keputusan itu selepas meminda pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati kepada Seksyen 304(A) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim itu berkata, setelah mengambil kira semua fakta, mahkamah mengemukakan pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(A) selepas mendapati tertuduh tidak sewajarnya dituduh mengikut Seksyen 302.

Hakim Mohd Yazid dalam keputusan di akhir kes pendakwaan berkata, wujud kegopohan dan kecuaian oleh tertuduh sehingga menyebabkan kematian bayinya.

“Kalau tertuduh tidak meletakkan bayinya ke dalam baldi, bayi itu tidak akan mati. Tertuduh ada hubungan sulit dengan seorang lelaki warga Bangladesh dan kerana takut (terbongkar) maka kejadian itu dilakukan secara gopoh-gapah.

“Apa yang dia lakukan adalah kerana takut memandangkan tertuduh masih mempunyai suami dan empat orang anak di Indonesia. Kenapa merampas hak bayi itu untuk hidup,” katanya.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun itu bermula 22 Ogos 2019 iaitu tarikh tertuduh ditangkap. Tertuduh yang ditahan reman pada tarikh itu dibebaskan hari ini.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik mencuci dan menjemur baju di rumah majikannya di Taman Cempaka, Ampang pada 7 pagi, 22 Ogos 2019.

Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan hari ini ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ariff Muzammil Wan Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam S Selvi, Lim Wei Qi dan Ho Zhi Qian. – BERNAMA-SM

 

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button