MahkamahNasionalNegeri

Azlan Man didakwa palsukan dokumen bernilai RM1.185 juta

BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas lima pertuduhan berkaitan memalsukan dokumen “Cuti Seberang Laut” bernilai RM1.185 juta.

Azlan, 66, yang tiba di mahkamah meminta dibicarakan setelah mengaku faham apabila kesemua lima pertuduhan dibaca terhadapnya.

Azlan Man masuk ke Mahkamah Sesyen Kangar bagi menghadapi lima pertuduhan palsukan dokomen “Cuti Seberang Laut” RM1.185 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Salha Datuk Hamzah memutuskan kes disebut semula pada 12 Mei depan.

Nor Salha juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Azlan membayar wang jaminan tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pengarah II Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Dalam kesemua pertuduhan itu, tertuduh sebagai Menteri Besar didakwa telah mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran perolehan (matan) dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Azlan didakwa menuntut kemudahan “Cuti Seberang Laut” yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 tetapi tidak membuat perjalanan sebenar.

Tertuduh berniat memperdayakan prinsipalnya membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, antara 11 Disember 2013 sehingga 14 Disember 2017.

Bagi kesemua pertuduhan ini, Azlan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Ia membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – SM

BACA Azlan Man tenang dan berserah kepada Allah

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button