Nasional

Tan Yee Kew mahu saman pengerusi Ikhlas, tuntut mohon maaf

PENGERUSI Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah bakal menerima saman daripada Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew. Selain itu Yee Kew turut menuntut permohonan maaf daripada Mohd. Riduan.

Yee Kew mendakwa pemimpin NGO itu telah menghasut peniaga tapak lama Uptown Danau Kota kononnya beliau telah menyalahgunakan kuasa dalam pemberian tapak niaga baru di Bazaria Wangsa Maju.

“Saya telah maklumkan kepada peguam saya dan kami dalam proses menfailkan saman di mahkamah.

“Saya sudah beri dokumen kepada peguam sejak 2 minggu lalu. Mungkin sehari dua ini kita akan fail ke mahkamah, selepas itu saya akan bagi surat tuntutan kepada beliau (Ridzuan),” kata Yee Kew dalam satu sidang akhbar hari ini.

Berikutan tindakan Mohd. Riduan, Yew Kew berkata, sehingga kini sebanyak 157 laporan polis telah dibuat terhadap dirinya.

“Saya menafikan segala tuduhan dalam kesemua 157 laporan polis mengenai perkara itu kerana ia adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

“Saya diberitahu bahawa kesemua isi kandungan 157 laporan polis itu adalah sama dan saya percaya ada orang yang menyediakan laporan itu untuk mereka,” kata Yee Kew.

Yee Kew juga menegaskan, tidak semua 157 individu yang membuat laporan polis tersebut layak menerima tapak untuk berniaga.

“DBKL sudah membuat siasatan latar belakang mereka yang buat laporan polis itu, bukan semua layak.

“Terdapat juga pihak yang menyewakan tapak kepada orang lain. Jadi mereka tidak layak mendapat tapak di kawasan baru,” katanya.

Arahan penutupan tapak Uptown Danau Kota mendapat reaksi balas peniaga yang berang dan mereka membuat laporan polis terhadap Tan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Hisham Ahmad Dahlan dan pengerusi Penjaja Bazaria Wangsa Maju, Ibrahim Merican.

Mereka mendakwa berlaku salah guna kuasa dan membuat laporan di Balai Polis Setapak awal Jan lalu.

Dua minggu lalu video Yee Kew menjelirkan lidah ke arah sekumpulan orang yang dipercayai peniaga ‘uptown’ Danau Kota di ibu negara menjadi tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. -SM

(Visited 417 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button