Nasionalpilihan

Belanjawan 2023: Konsep Payung Rahmah meminimum beban sara hidup

Konsep Payuh Rahmah yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk membantu golongan susah dan rentan menangani kos sara hidup kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau yakin inisiatif Menu Rahmah menganjurkan set hidangan pada harga RM5 dijangka akan terus menerima sambutan baik daripada pengusaha makanan dan rakyat.

“Kerajaan amat berterima kasih kepada semua peniaga walaupun dengan keuntungan kecil tapi tetap bersama membantu rakyat. Semoga ini menjadi teladan untuk semua.

“Kerajaan juga melaksanakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menjayakan program ini di setiap kawasan Parlimen.

Di samping itu katanya, usaha turut dilakukan untuk meningkatkan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak, Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.

Katanya, kerajaan juga telah menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1.

Jelasnya, beberapa pembaharuan diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, mendapat manfaat yang lebih daripada STR.

Katanya, mereka yang layak ialah isi rumah pendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga 2,500 ringgit bergantung kepada bilangan anak.

“Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih. Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai 600 ringgit kepada mereka,” ujarnya.

Jelasnya, ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.

Secara keseluruhan kata Perdana Menteri, STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

“Walaupun STR dikaitkan sebagai bantuan kepada B40, tetapi mengambil kira bilangan penerima, sebenarnya STR telah memanfaatkan lebih 60 peratus daripada rakyat dewasa negara.

“Akhir sekali tidak dilupakan, kepada 2 juta orang belia 18 hingga 20 tahun, kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM 200 ringgit dengan peruntukan RM400 juta,” ujarnya. – SM

(Visited 299 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button