Nasional

Pemandu treler didakwa pandu secara melulu dalam kemalangan 5 sekawan

SEORANG pemandu treler dihadapkan ke mahkamah majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Lebuhraya Utara-Selatan minggu lepas.

Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, didakwa memandu treler Volvo secara berbahaya dan menyebabkan kematian Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Km245.2 arah utara lebuh raya di sini, kira-kira jam 1 pagi, 12 Mei lalu.

Kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan majistret Shazmeer Zamhari.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan, dengan butiran sabitan yang akan diendors pada lesen memandu.


Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan penggantungan lesennya sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam G Ravishankar yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan tiga anaknya berusia dua hingga 14 tahun.

Shazmeer mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung dan membenarkannya diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan. Beliau menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Lima pelajar itu menaiki kereta Honda City dirempuh dari belakang oleh sebuah treler yang membawa pagar besi menyebabkan kereta itu merempuh sebuah treler sarat dengan jubin mozek dan terbakar.

Lima pelajar itu mati melecur.

 

(Visited 82 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button