NasionalNegeri

Peruncit telur di Jejawi diserbu penguatkuasa PPDNHEP Perlis

SUDAHLAH sukar untuk pengguna mendapatkan bekalan telur yang terhad, ada pula peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh yang akhirnya, memakan dirinya sendiri.

Sikap sengaja tidak meletak tanda harga bagi tujuan dapat menjual barangan berkenaan pada harga lebih tinggi dari yang ditetapkan oleh kerajaan memang menimbulkan kemarahan kepada pengguna.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Perlis yang menerima aduan seperti ini, terus bertindak dengan segera.

Tiada tanda harga merah jambu pada telur yang termasuk PHM.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, pasukan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasanya, Suzita Ghazali bersama tiga Pegawai Penguat Kuasa telah bertindak menjalankan pemeriksaan Penentuan Harga Maksimum(PHM) Ayam dan Telur Ayam ke atas peruncit di sekitar daerah Jejawi.

“Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan semalam, satu tindakan kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas peruncit di lokasi tersebut,” katanya.

Norazah berkata, peniaga berkenaan didapati tidak meletakkan tanda harga merah jambu (pink) bagi barangan harga terkawal di bawah PHM yang sedang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, katanya, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di mana jika disabitkan kesalahan di bawah Akta ini maka boleh dikenakan penalti.

“Kesalahan menjual barangan harga terkawal tiada tanda harga merah jambu jika melibatkan individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 dikompaun sehingga RM5,000 jika ia melibatkan syarikat pula, boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Norazah berkata, pihaknya telah melakukan 225 pemeriksaan ke atas peruncit dan pemborong telur ayam di sepanjang 14 hari PHM Ayam dan Telur Ayam di Perlis.

Beliau menasihatkan agar semua pemborong dan peruncit Ayam dan Telur Ayam supaya mematuhi harga yang ditetapkan di bawah PHM Ayam dan Telur Ayam sepanjang tempoh ia dikuatkuasakan.

Tambah beliau, pengguna boleh melaporkan sebarang aduan yang berkaitan dengan bidang kuasa di bawah KPDNHEP melalui saluran yang disediakan oleh pihak kementerian seperti berikut:

-Portal e-aduan 2.0;

-Call Centre 1-800-886-800;

-E-mel [email protected];

-Aplikasi EZ ADU KPDNHEP;

-Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088 / 6245;

-WhatsApp 019-279 4317;

-Media Sosial – Twitter dan Facebook KPDNHEP ATAU Facebook PPDNHEP Perlis; dan

-Menghubungi PPDNHEP Negeri Perlis di talian 04-9795000 (Setiap hari mulai pukul 8.00 pagi sehingga 6.00 petang) – SM

(Visited 389 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button