NasionalNegeri

335 kilogram siput retak seribu dirampas

SEBANYAK 335 kilogram siput retak seribu dirampas ekoran penahanan tiga bot fiber di lokasi berlainan sekitar perairan di Perlis, petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Mohd Hashim Mat Zain berkata, tiga bot berkenaan tanpa nombor pendaftaran ditahan kerana disyaki menangkap siput secara haram di persekitaran perairan di negeri ini.

BOT jenis fiber yang ditahan atas kesalahan menangkap siput retak seribu secara haram di sekitar perairan Perlis.

“Kesemua mereka ditahan berikutan aduan dari pihak awam yang diterima melalui Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Kuala Perlis berkaitan aktiviti penangkapan siput retak seribu secara haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hashim berkata, dua tangkapan dibuat pada kedudukan kira-kira 1.98 dan 1.99 batu nautika barat pantai Kurung Tengar yang membabitkan dua tekong dan seorang kru.

Bot ekor biawak digunakan bagi melakukan aktiviti menangkap siput retak seribu secara haram.

“Tangkapan ketiga dilakukan pada kedudukan sekitar 1.60 batu nautika barat muara Kuala Perlis melibatkan seorang tekong bot,” katanya.

Beliau berkata, mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah.

“Serta Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan,” jelasnya.

Katanya lagi, empat set sangkar besi berupa tangguk siput dianggarkan bernilai RM1,800 juga dirampas.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk tiga buah bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu sekitar RM20,403,” katanya.

Mohd. Hashim berkata, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan berusia 27 hingga 35 tahun.

“Bot serta hasil tangkapan siput dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

SEBAHAGIAN daripada siput retak seribu yang berjaya dirampas.

Tambah beliau, setelah disiasat modus operandi (MO) penangkapan siput jenis retak seribu ini adalah dengan menggunakan bot fiber enjin sangkut bergalah (ekor biawak).

Aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan berikutan Jabatan Perikanan Negeri Perlis tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti penangkapan siput, jelasnya.

Beliau berkata, lesen atau permit untuk aktiviti penangkapan siput berkenaan hanya dikeluarkan di Kedah dan kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja.

“Aktiviti ini boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih-benih ikan di dasar laut serta turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai,” katanya. – SM

(Visited 493 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button