Nasional

Covid-19: Tutup sekolah rendah elak wujud kluster baharu

KERAJAAN diminta supaya menutup semula sekolah rendah kerana wabak Covid-19 di negara ini belum pulih sepenuhnya.

Perkara itu dicadangkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin ekoran murid sekolah rendah terutama darjah satu hingga tiga tidak faham apa itu penjarakan sosial.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Mohd Sharkar berkata, murid sekolah rendah tidak mampu melakukan penjarakan sosial dan guru-guru yang terpaksa memastikan perkara itu dipatuhi.

“Saya sendiri sempat meninjau di SK Jalan Bahagia, Temerloh dan saya dapati murid-murid khususnya darjah satu hingga darjah tiga, mereka tidak faham dan tidak bersedia untuk mula bersekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mulai 15 Julai lalu sesi persekolahan sekolah rendah mula dibuka untuk murid tahun lima dan enam, sementara  bagi murid darjah satu hingga empat, sesi persekolahan mereka bermula semalam.

Mohd. Sharkar berkata, jika sekolah tidak ditutup kemungkinan akan wujud kluster baharu membabitkan golongan itu.

Oleh itu katanya, kerajaan tidak perlu tergesa-gera.

Selain meminta sekolah rendah ditutup, beliau juga mencadangkan pelajar dari tingkatan satu hingga tiga diarahkan bercuti.

“Hanya pelajar dari tingkatan empat hingga lima yang terlibat dalam sesi persekolahan sehingga kita benar-benar yakin penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya dan vaksin ditemui,” katanya.

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button