JenayahNasional

Pelajar darjah tiga patah kaki dihentam kerusi oleh guru

SEORANG pelajar lelaki patah kaki kanan selepas didakwa dihentam kerusi oleh seorang guru Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah, di Marang.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 6 Julai lalu melibatkan mangsa berusia sembilan tahun.

Sumber berkata, ibu mangsa yang berusia 36 tahun menyedari sesuatu yang tidak kena dengan anaknya kira-kira jam 5 petang pada hari yang sama selepas dia mengadu sakit kaki.

“Mangsa memberitahu bahawa seorang guru telah mengangkat dan membantingnya ke atas kerusi sehingga kaki kanannya cedera.

“Guru itu dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tingkah laku mangsa ketika berada di dalam kelas.

“Mangsa kemudian dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan mengalami patah kaki kanan. Satu laporan polis telah dibuat pada Jumaat lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Seksyen 325 merujuk kepada secara sukarela menyebabkan kecederaan yang teruk. Mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, dan juga boleh dikenakan denda. -SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button