Nasional

1.9 juta dos vaksin diperlukan untuk pekerja industri

KIRA-KIRA 1.9 juta dos vaksin Covid-19 diperlukan untuk golongan pekerja sekaligus menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) menjelang akhir September depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya mahu memastikan program PIKAS lancar kerana sambutan diterima daripada majikan dan pekerja cukup positif.

“Saya telah memohon kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dan kedua-dua kementerian menyokong PIKAS.

“Kita perlukan pada bulan Julai sebanyak 600,000 dos vaksin, pada bulan Ogos sebanyak 600,000 dos lagi dan 795,000 dos vaksin pada bulan September.

“Bekalan vaksin ini penting untuk menjayakan PIKAS. Kita jangka menjelang akhir bulan September kita boleh lengkap kesemuanya dan kita akan capai tahap imuniti kelompok dalam sektor pembuatan,” katanya.

Menurut Azmin, pihaknya telah menerima jaminan daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covis-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin iaitu sebanyak 600,000 vaksin diperuntukkan ke dalam program PIKAS pada bulan hadapan.

Diikuti dengan sebanyak 600,000 dos vaksin lagi pada bulan Ogos dan seterusnya sejumlah 795,000 vaksin pada bulan September.

Jelas beliau terdapat sebanyak 49 buah Pusat Pemberian Vaksim bagi PIKAS termasuk 24 PPV penggunaan umum dan 25 PPV tapak premis yang bersedia memberikan suntikan kepada pekerja sektor perkilangan dan pembuatan di seluruh negara.

Sehingga kini, terdapat 4,537 syarikat dan 23,180 pekerja dalam industri perkilangan di Negeri Sembilan.

Sehingga semalam sebanyak 41 syarikat dengan jumlah pekerja 11,491 orang telah membuat permohonan untuk menyertai vaksinisasi di bawah program PIKAS.

Menurutnya dari 16 Jun hingga semalam seramai 13,981 pekerja telah menerima dos pertama vaksin di tiga PPV PIKAS iaitu di PPV Bukit Jawi (6,320 dos), PPV Pengerang (5,290 dos), dan PPV Texas Instruments (2,371 dos).

“Pada ketika ini kita sedang melihat keperluan tambahan. Majikan cukup positif untuk menyediakan fasiliti PPV di tapak premis seperti di Pulau Pinang minggu lepas ada permohonan untuk tambahan tiga buah lagi dan kita bersetuju untuk berikan kelulusan.

“Di pihak kementerian kami akan terus berbincang dengan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tentang keperluan ini, namun kita telah ada unjuran tetapi kalau ada tambahan dan keperluan kita akan siapkan PPV tersebut,” katanya lagi.

PPV PIKAS yang pertama di Negeri Sembilan akan beroperasi di D’Tempat Country Club, Sendayan, Seremban bermula 5 Julai depan.

PPV PIKAS tersebut mempunyai keupayaan untuk melaksanakan sebanyak 1500 dos suntikan vaksin sehari.-SM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button