Nasional

Jauhi penyalahgunaan dadah dan ketum – Raja Muda Perlis

‘Jauhilah Diri Sendiri Dan Juga Ahli Keluarga Daripada Bahaya Najis Dadah dan Menyalah Guna Daun Ketum’

Terdapat pelbagai jenis dan juga tren penagihan dadah di negara ini yang bermula daripada era kemasukan candu lagi disusuli dengan budaya ‘Hippi’ yang menjadikan ganja bahan ketagihan.

Kemudian kemasukan heroin di era Perang Amerika-Vietnam membuatkan kadar penagihan heroin meningkat secara mendadak dituruti pula dengan penyalahgunaan dadah ATS, syabu, ecstacy dan pil kuda.

Selepas itu diperkenalkan pula dadah baru seperti New Psychoactive Substance (NPS) dan apa lagi pula selepas ini.

Demikian dikongsikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi kempen ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ melalui titah perutusan sempena peringatan ‘Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram’ yang diadakan pada 26 Jun setiap tahun.

Sambutan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang masalah penggunaan dadah terlarang ke atas masyarakat dan mestilah diperangi oleh segenap peringkat kepimpinan bersama-sama secara habis-habisan.

Tuanku Raja Muda yang amat mengambil berat tentang isu besar yang mampu membinasakan jenerasi rakyat, negeri dan negara ini sentiasa melibatkan pihak pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis untuk menyampaikan ceramah kesedaran di program-program motivasi baginda bersama rakyat khususnya ‘Titian Kasih Mega Sekolah-Sekolah Menengah’ anjuran YTSP Perlis dan juga ‘Hijrah Minda MAIPs’ oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di masjid-masjid segenap pelusuk negeri sejak lebih daripada sedekad yang lalu lagi.

Menyentuh mengenai isu ketum di negeri Perlis secara spesifiknya pula, Tuanku Syed Faizuddin Putra bersetuju bahawa air daun ketum jika dicampur bahan cemar lain dan disalah guna oleh masyarakat terutamanya penagih dadah adalah amat merbahaya.

‘Penyalahgunaan bahan ini boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk seperti hilang kawalan diri, rasa bosan dan malas, kurang sensitif terhadap kesakitan fizikal dan emosi, anak mata menjadi sempit dan rasa loya.

Antara kesan lain mengenai penyalahgunaan daun ketum adalah seperti susut berat badan, sukar untuk tidur atau insomnia, tiada selera makan, bibir menjadi kering, kesukaran membuang air besar, kesan lebam dan terbakar pada muka terutamanya pada bahagian pipi.

Gejala-gejala ketagihan pula seperti mata dan hidung berair, sengal-sengal sendi, mudah marah dan semakin lemah untuk bekerja’ terang baginda.

Untuk rekod, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) melaporkan bahawa terdapat seramai hampir 200 juta orang dikesan menggunakan dadah terlarang seperti kokain, kanabis, halusinogen, opiat dan sedatif-hipnotik di seluruh dunia.

(Visited 569 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button