Nasional

Pecat ahli Alumni 4B Malaysia jika ada lompat tinggalkan UMNO

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 31 Mac – Pertubuhan Alumni 4B Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan disiplin termasuk
memecat keahlian ahli badan induk itu jika ada di antara mereka yang bertindak melompat parti meninggalkan
UMNO.

Naib Presidennya, Datuk Hasan Abd. Rahman berkata, tindakan itu wajar diambil memandangkan pertubuhan
itu ditubuhkan dengan keahliannya adalah dalam kalangan ahli, pemimpin dan bekas wakil-wakil rakyat
daripada UMNO.

Sehubungan itu menurutnya, satu Jawatankuasa Disiplin akan diwujudkan dalam pertubuhan itu dengan tujuan
untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang engkar serta melanggar ikrar.

“Kita tidak dapat sorok bahawa Alumni 4B ialah UMNO dan BN begitu juga UMNO dan BN itu adalah Alumni 4B
sejak penubuhannya hasil cetusan idea Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam (Yang di-Pertua Negeri Melaka) yang dulunya Presiden Gerakan Belia 4B.


“Ini adalah kenderaan kita untuk memastikan rakyat yang menjadi ahli kita akan tetap terus menyokong dan
bersama UMNO dan BN.

“Mereka yang menyongsong arus dan melompat daripada UMNO dan tidak ikut kita, mereka ini akan diambil
tindakan disipilin yang akan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) esok (hari ini),” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Tertinggi Alumni 4B
Malaysia dan Persidangan Tahunan Alumni 4B Melaka yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri
Sulaiman Md. Ali malam tadi.

Yang turut hadir Presiden Alumni 4B, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya,
Senator Datuk Mohd. Ridhwan Tun Ali dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abd. Razak Abd. Rahman.

Pada majlis tersebut juga Sulaiman turut menjadi ahli Alumni 4B apabila menandatangani borang keahlian.

Hasan yang juga Pengerusi Alumni 4B Melaka berkata, pertubuhan itu berdiri teguh di belakang UMNO
khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Katanya, sebelum ini pucuk pimpinan tertinggi pertubuhan itu turut terlibat sewaktu Pilihan Raya Negeri
(PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

“Ahli perlu menyokong bahawa hanya UMNO dan BN sahaja dapat membawa kemakmuran dan mewujudkan kestabilan
politik negara ini,” ujarnya.

 

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button