fbpx
Nasional

Jabatan penjara nafi Azilah dibawa keluar untuk bertemu VVIP

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa banduan yang kini menunggu hukuman gantung, Azilah Hadri yang merupakan bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang tahun ini untuk bertemu mana-mana VVIP.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Penjara Malaysia berkata, Azilah yang telah didapati bersalah kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tidak pernah dibawa keluar dari penjara tersebut sejak 15 April 2015.

“Kali terakhir penama dibawa keluar dair Penjara Kajang adalah pada 15 April 2015 iaitu bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

“Pengiriangan bagi menghadiri perbicaraan tersebut dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang seperti mana di bawah Seksyen 30 Akta Penjara yang menghehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat uang telah dinyatakan.”


Menurut kenyataan tersebut, rekod lawatan dan perjumpaan Azilah menunjukkan beliau telah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga dan 15 kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang sejak setahun lalu.

Lawatan tersebut dijalankan mengikut Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir.

“Oleh itu sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengatakan Azilah Bin Hadri telah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali.”

Semalam sebuah portal berita melaporkan, peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melahirkan rasa hairan bagaimanakah seseorang yang sudah dijatuhkan hukuman gantung boleh diberikan akses untuk bertemu seorang individu ternama ‘VVIP’ di luar penjara Kajang.

Shafee bagaimanapun berkata, maklumat itu tidak dapat disahkan olehnya sebaliknya dimaklumkan kepadanya oleh sumber yang boleh dipercayai.

“Pertemuan antara Azilah dan VVIP ini telah mengambil tempat pada awal Februari tahun ini. Bagaimanakah seorang banduan hukuman gantung boleh keluar dan bertemu VVIP ini di luar? Bagaimana ini berlaku?

“Tentunya saya tidak dapat sahkan maklumat ini tetapi pemberi maklumat yang boleh dipercayai. Pertemuan ini bukan dalam penjara sebaliknya luar penjara. Apabila seorang banduan yang sudah ditetapkan hukuman gantung, bagaimanakah dia boleh di bawa keluar begitu?

“Ini sudah melanggar undang-undang dan protokol. Saya sedang tunggu pengesahan rasmi ketika ini,” katanya kepada pemberita.

Dua hari lalu negara dikejutkan dengan akuan bersumpah (SD) Azilah yang mendakwa mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika kejadian adalah Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.-S

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button