Nasional

Ingat tak lagi insiden ‘elephant fight elephant’?

MALAYSIA memang telah lama merdeka. Bagaimanapun masyarakatnya masih lagi terbelenggu dengan pemikiran penjajah, terutama penjajah Inggeris.

Hinggakan apa saja yang dibuat oleh bangsa Inggeris ini adalah lebih baik berbanding dengan apa yang diusahakan anak watan sendiri.

Pemikiran terbelenggu ini diteruskan lagi apabila sebahagian besar pentadbir negara ini terdiri daripada mereka yang berkelulusan dari negara-negara yang bertutur bahasa Inggeris.

Mereka lebih selesa bertutur di dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda mereka sendiri termasuklah bahasa Melayu.

Siapa yang mampu bertutur bahasa Inggeris dengan loghat British contohnya dianggap orang yang terpelajar, walaupun hakikatnya tidak sedemikian.

Jadi sudah menjadi perkara biasa mereka yang belajar bidang bahasa Inggeris di London menjadi bos besar di syarikat-syarikat dengan pekerja bawahan mereka ialah mereka yang lulus dari universiti tempatan walaupun terdiri daripada golongan profesional seperti jurutera.

Bagaimanapun perubahan landskap politik di negara ini menyebabkan golongan yang menganggap diri sendiri bijak apabila berbicara dalam bahasa Inggeris ini tidak selesa apabila terdapat menteri yang tidak fasih atau tidak mampu bercakap bahasa Inggeris dengan slanga British.

Maka terpaksalah para menteri yang lulusan sastera universiti tempatan belajar bahasa Inggeris, hinggalah timbul peribahasa baharu ‘Elephant fight elephant’ satu ketika dahulu dipertuturkan di ajang antarabangsa dan menjadi bahan jenaka sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun bagi Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man beliau memilih untuk bercakap di dalam bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa.

Tindakan beliau itu menyebabkan pertelingkahan di media sosial kerana ramai yang mengalu-alukan tindakan beliau itu, dan tidak kurang juga menganggapnya sebagai memalukan negara.

Sedangkan ia sebenarnya tidakkan yang bijak kerana tidak perlu memalukan diri dengan bercakap bahasa Inggeris yang salah sebutan dan tatabahasanya kerana semua persidangan sedemikian mempunyai jurubahasa yang akan menterjemah ke dalam bahasa utama dunia termasuk bahasa Inggeris, Perancis dan Arab.

Kalau kita berhujah secara klise bahawa negara Jepun, Korea dan China contohnya tetap maju walaupun majoriti penduduknya tidak pandai berturut bahasa Inggeris golongan berkenaan tidak akan menerimanya.

Begitu juga jika tindakan sedemikian dikaitkan dengan semangat patriotik ia juga dianggap remeh kerana jiwa mereka telah mati dan sebati dengan fahaman bangsa Inggeris adalah lebih baik berbanding bangsa lain.

Jadi tidak hairan jika mereka berusaha menukar atau menggunakan nama Inggeris walaupun diberi nama Melayu oleh ibu bapa mereka.

Anak-anak serta cucu mereka juga diberi nama ala-ala Inggeris bagi menunjukkan mereka seorang yang moden dan terpelajar.

Jadi bagi menghentikan segala kebodohan serta kesombongan itu, golongan berkenaan tidak seharusnya dilayan, menteri-menteri perlu terus bercakap di dalam bahasa Melayu di persada antarabangsa dan lama kelamaan ia akan diterima sebagai satu perkara biasa.

Apa pun tahniah kepada Tuan Ibrahim kerana bertindak berani.

 

(Visited 915 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button