Nasionalpilihan

MOTAC sasar RM147.1 bilion sempena VM2026

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kedatangan pelancong luar negara sebanyak 35.6 juta sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026
(VM2026).

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, MOTAC turut menyasarkan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion dijangka diraih sepanjang tempoh
VM2026.

Tiong King Sing berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM2024) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, Melaka.

Menurutnya, bagi menjayakan hasrat itu MOTAC memerlukan sokongan kerajaan negeri, penggiat industri serta sokongan rakyat bagi menjayakan kempen tersebut.

Beliau berkata, kerjasama itu amat penting daripada semua pihak dalam tempoh tiga tahun sebelum tibanya VM2026.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak terlibat membuat persiapan rapi dalam memastikan VM2026 berjaya serta memberi impak ekonomi secara optimum sekali gus
memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat global.

“MOTAC menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong asing sempena VM2026 dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion ringgit.

“Malaysia kaya dengan tarikan pelancongan termasuk keindahan alam semula jadi, budaya dan kesenian yang pelbagai namun malangnya terdapat sesetengah negeri yang memandang remeh perkara ini.

“Mereka tidak mahu mengambil peluang untuk mengoptimumkan sumber pelancongan yang ada bagi memajukan industri ini hingga ke peringkat global.

“Mungkin ada yang tidak sedar industri pelancongan juga antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” ujarnya berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM2024) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini malam
tadi.

Majlis perasmian telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan negeri, jabatan dan agensi.

Tiong berkata, beliau turut bimbang melihat tarikan pelancongan domestik bergerak perlahan seperti tidak mempunyai daya saing berbanding negara jiran.

Menurutnya, pihak kementerian amat mengalu-alukan inisiatif kerajaan negeri Melaka menganjurkan TMM2024 serta menyediakan lebih 70 acara bagi menyambut
kedatangan para pelancong.

“Kerjasama strategik kementerian dan kerajaan negeri apabila Melaka dipilih menganjurkan World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang
dijadualkan pada 27 hingga 29 Sept 2025,” ujarnya.

Menurutnya, atas inisiatif penganjuran TMM2024, MOTAC mengumumkan peruntukan tambahan kepada kerajaan negeri Melaka sebanyak RM2 juta.

Sementara itu Ab. Rauf berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian yang mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk kegunaan
sepanjang TMM 2024.

“Sebelum ini kita berkongsi RM5 juta yang diperuntukan bukan sahaja Melaka tetapi dikongsi dengan beberapa negeri lain yang turut menganjurkan inisiatif yang kita
lakukan,” ujarnya. – SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button