Politik

Rakyat mahu bantuan wang tunai – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berpuas-hati dengan bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin hari ini.

Menurut pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu, tidak ada bantuan wang tunai yang sangat diperlukan rakyat ketika ini.

“Saya dah ulas beberapa kali hal ini. Rakyat tidak mahu potongan cukai terhadap telefon bimbit dan laptop. Rakyat yang kerajaan kena bantu ni tak larat dan tak lepas pun bayar cukai. Tadi pun kerajaan bagi potongan cukai jualan atas kenderaan. Rakyat yang susah sekarang tak beli pun kereta.

“Mereka nak beli keperluan asas. Beras, gula, ayam, ikan, sayur. Potongan cukai tak boleh bantu sediakan makanan atas meja rakyat yang susah. Rakyat mahu bantuan wang tunai,” kata Syed Saddiq.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga gusar kerana menurutnya, pakej PERMAI banyak menekankan kepada jenama dan bukan kelangsungan ekonomi rakyat.

Beliau tidak setuju dengan tindakan kerajaan yang membenarkan rakyat untuk mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Syed Saddiq berkata, wang tersebut bukan bantuan kerajaan sebaliknya adalah wang rakyat.

“Iyalah, waktu Belanjawan 2021 umum, kerajaan minta rakyat keluarkan wang simpanan KWSP untuk tampung kehidupan susah.

“Petang tadi, kerajaan sekali lagi umum rakyat yang susah boleh keluarkan wang simpanan KWSP melalui i-Sinar. Ini wang rakyat, bukan bantuan khas kerajaan.

“Apa jawapan kerajaan terhadap wang simpanan rakyat yang makin susut ini? Kalau PKP terus dilanjutkan sampai pertengahan tahun, simpanan wang rakyat dah kering. Rakyat sudah susah, simpanan makin susut. Jawapan kerajaan, guna lagi wang rakyat untuk selamatkan rakyat,” katanya.

Selain itu beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan terlalu sukar membenarkan moratorium secara automatik kepada semua.

“Moratorium kena dibuat secara automatik seperti waktu PKP 1.0. Ramai rakyat tak tahu pun kena mohon moratorium. Kalau nak mohon online pun, ramai sangat rakyat tak ada akses internet. Contohnya di Muar sahaja.

“Saya juga banyak dapat aduan proses dan dokumen yang diperlukan untuk seseorang peminjam buat permohonan moratorium sangat leceh dan menyusahkan. Bila susah, kena tanya kaunter bank. Ramai yang susah ke kaunter bank, akhirnya banyak kontak rapat dengan wabak pandemik,” kata Syed Saddiq.

Bantuan Permai dibuat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (2.0) bagi membantu meringankan beban rakyat.-SM

(Visited 253 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button