Politik

PAS perlu buat keputusan tepat

PAS dapat membuat keputusan yang tepat iaitu bekerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau akan berasa senang hati jika PAS dapat menyatakan pendirian untuk bersama UMNO demi penyatuan dan perpaduan ummah dalam MN.

“Apa pun yang nak diputuskan oleh parti PAS kita terima, saya boleh sebut dengan hati yang senanglah sekiranya PAS memilih untuk bersama dengan UMNO atas nama Muafakat Nasional.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap hari ini.


Sebelum ini tambah Mahdzir, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan perkara dan ketetapan berhubung kerjasama dalam MN untuk menghadapi PRU15.

“Saya rasa dalam perbincangan itu sudah dinyatakan ketetapan yang paling sesuai untuk UMNO, kita buat ketetapan seumpama itu sekiranya PAS bersetuju.

PAS pula kata mereka akan fikirkan, tengok sesuai atau tidak, tapi PAS punya penekanan juga berkaitan dengan perpaduan yang dianjurkan (mereka), mereka pun mensyorkan kepada perpaduan,” katanya.

Jelas Mahdzir, jika PAS memilih untuk bersama UMNO, Jawatankuasa Perundingan UMNO dan PAS yang diwujudkan sebelum ini bagi membincangkan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti boleh diaktifkan semula.

“Jawatankuasa perundingan itu sudah ada dari dulu lagi cuma terhenti apabila tak jadi (kerjasama) dan masing-masing bawa diri, jadi tak ada bermesyuarat, tapi sekiranya jadi (kerjasama) jawatankuasa itu boleh mula balik.

Sebab (kita) dah ada formula dan struktur apa dan bagaimana yang perlu dibuat (untuk pembahagian kerusi), misalnya kawasan ini macam mana, semua itu sudah ada cuma kena bersidang balik,” katanya.

Ditanya mengenai Bajet 2023 yang disifatkan sebagai manifesto Barisan Nasional (BN) bagi PRU15, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, bajet itu dibentang secara kebetulan ketika isu pembubaran Parlimen dan PRU15.

“Bajet ini (urusan) kerajaan, pilihan raya datang pada waktu mana genap sampai waktu dia (bubar), jadi kebetulan ada bajet dibentang masa itu kerana bajet macam mana sekali pun kena buat tiap-tiap tahun.

Sebahagian daripada yang diumumkan dalam Bajet 2023 memang daripada manifesto dalam parti, saya ingat lagi Perdana Menteri juga umumkan beberapa perkara yang ada dalam bajet ini termasuk ketika Perhimpunan Agung UMNO,” katanya. – SM

Artikel berkaitan > Pendirian Pas terhadap PN dan MN kekal

(Visited 137 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button