Ekonomi

AirAsia catat jualan harian tempat duduk tertinggi, 41,000

Selepas tempoh hibernisasi Covid-19

AIRAsia mencatat jualan harian tertinggi sebanyak 41,000 tempat duduk bagi seluruh kumpulan itu pada Selasa, selepas tempoh hibernasi yang disifatkan sebagai menandakan permintaan tinggi bagi perjalanan udara.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata dalam satu kenyataannya semalam, laman sesawang syarikat penerbangan tambang rendah itu turut menyaksikan peningkatan trafik sebanyak 170 peratus.

Beliau berkata, tempahan destinasi paling popular bagi Malaysia adalah Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur manakala Thailand pula melibatkan laluan Bangkok ke Chiang Mai dan Hat Yai.

“Destinasi popular untuk Filipina termasuk Manila ke Puerto Princesa dan Davao sementara penerbangan ke India meliputi Delhi ke Srinagar dan Bengaluru ke Hyderabad. Indonesia membabitkan laluan Jakarta ke Denpasar dan Medan,” ujar Tony.

Selain itu, purata muatan penumpang bagi kumpulan AirAsia adalah sebanyak 50 peratus dengan AirAsia Malaysia mencecah 70 peratus – tertinggi bagi aspek itu untuk tempoh pasca-hibernasi.

Perkembangan positif itu, ujar beliau, menjadikan pihaknya lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik dan menjangkakan permintaan ini akan berterusan.

“Kami merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan sebanyak 50 peratus daripada operasi sebelum Covid-19.

“Dan kami juga tidak sabar-sabar untuk ‘terbang’ ke semua laluan domestik pada minggu-minggu akan datang bagi menampung peningkatan permintaan,” kata Tony.

Pada masa ini, AirAsia mengendalikan 152 penerbangan harian di serata rantau ini.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu juga berharap untuk melihat pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Ini jelas menunjukkan kepentingan pengangkutan udara bagi memulakan serta memulihkan aktiviti-aktiviti ekonomi di peringkat global.

Tony juga menambah, syarikat itu akan turut memperluaskan Pas Tanpa Had AirAsia ke pasaran lain tidak lama lagi susulan sambutannya yang memberangsangkan di Malaysia. – SM

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button