fbpx
PolitikRencana

Parti-parti Melayu perlu diperdamaikan dengan formula Saidina Hasan Bin Ali R.A

PERKEMBANGAN politik mutakhir ini agak membimbangkan. Saya melihat ramai siber trooper PAS dan UMNO mula serang menyerang antara satu sama lain.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang apa yang patut dan tidak patut berlaku antara parti politik melayu tanahair mutakhir ini, tetapi apa yang saya ingin seru kepada semua siber trooper PAS dan UMNO supaya meletakkan ‘senjata keyboard’ masing-masing. Banyak perkara ‘untold story’ yang kita tidak tahu disebalik isu yang sedang hangat sekarang.

Dikesempatan ini, saya ingin redakan sikit tohmahan terhadap UMNO apabila ada yang mula menuduh “UMNO dah lupa diri apabila ada kuasa sedangkan sewaktu mula-mula hilang kuasa hari tu, mereka menyondol kepada PAS untuk minta talian hayat.”

Tohmahan ini hakikatnya ‘SALAH’ kerana UMNO telah mula bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS dalam isu-isu umat Islam sejak sebelum Pakatan Rakyat menang di Selangor dan Penang pada tahun 2008 lagi apabila masing-masing mula menyedari ancamana DAP terhadap umat Islam.

Pimpinan kedua-dua parti menyedari hakikat ancaman DAP sebelum rakyat dan jentera parti menyedarinya.


Akhirnya hari ini, semua kita juga dapat melihat ancaman DAP itu terutama setelah 22 bulan PH memerintah Malaysia.

Rakyat menyedarinya lebih 10 tahun lewat berbanding kepimpinan-kepimpinan parti-parti Melayu yang ada.

Pada waktu usaha ini berlaku, saya pernah membantu Al-Marhum Dr Haron Din dalam usaha ke arah penyatuan umat Islam (bukan PAS dan UMNO sahaja) pada waktu itu.

Ringkasnya, UMNO menyambut baik usaha mengekang ancaman DAP ini pada waktu mereka masih di puncak kuasa, bukan pada waktu mereka hilang kuasa selepas PRU14 sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan Siber Trooper.

Semua perlu beringat! Apabila PAS dan UMNO bertelagah, maka PAS rugi, UMNO rugi, semua Melayu juga turut rugi, tetapi yang paling untung ialah DAP kerana pada waktu itu, mereka mula menjadi King Maker apabila umat Islam pecah 3 parti dengan masing-masing memegang komposisi 35%.

Serahkan kepada kebijaksanaan pimpinan kita menyelesaikan isu ini. Selama mana tiada keputusan rasmi bertulis, kita perlu berpegang pada piagam yang ditandatangani dengan disaksikan dengan linangan air mata ribuan penyokong kedua-dua parti.

Mungkin wajar kita merenung kembali hadis nabi SAW tentang penyatuan 2 kumpulan umat Islam oleh Saidina Hassan.

Baginda bersabda: “Sesungguhnya cucuku ini (Saidina Hassan bin Ali R.A) bakal menjadi sayyid (ketua) yang dengan jawatan itu dengan izin Allah dia akan mendamaikan dua puak kaum muslimin!”

Pertembungan antara tentera Saidina Hassan yang mendapat dokongan tentera daripada penduduk Iraq dan tentera Muawiyah yang mendapat dokongan tentera daripada penduduk Syam apabila tercetus dalam fikiran mereka kesan jika peperangan ini berlaku. Ketika Amru bin Ash melaporkan kepada Muawiyah bahawa kedua-dua pihak mempunyai kekuatan tentera yang sama banyak.

Muawiyah berkata “Sekiranya mereka (penduduk Sham) membunuh mereka (penduduk Iraq), maka siapakah bagi pihak aku yang akan menjalankan urusan kehidupan kaum muslimin? Siapakah yang akan membantu golongan-golongan lemah dikalangan kaum wanita mereka?”

Akhirnya Muawiyah menghantar 2 wakil daripada Quraish iaitu Abdul Rahman ibn Samurrah dan Abdullah ibn Umayr kepada Saidna Hassan. Muawiyah berpesan kepada keduanya: “Pergilah kamu berdua kepada Saidina Hasan. Ceritakanlah masalah ini kepadanya dan mintalah sesuatu daripadanya!”.

Sewaktu rundingan Saidin Hasan dengan 2 wakil Muawiyah, Saidina Hasan menyebut: “Aku telah mendengar Abu Bukrah bercerita “Aku melihat Rasulullah saw berada diatas mimbar sedangkan al-Hasan bin Ali berada disisinya.

“Dia memandang orang ramai dan kemudian ke arahnya. Baginda pun bersabda “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini bakal menjadi ketua atau sayyid. Semoga Allah swt menjadikannya pendamai antara dua puak yang besar daripada orang-orang Islam!”

Akhirnya dengan beberapa perjanjian supaya dilaksanakan oleh Muawiyah (yang tidak sempat nak coretkan terperinci), Saidina Hasan menarik diri daripada jawatan Khalifah dan memberikan baiah kepada Saidina Muawiyah.

Walaupun pada peringkat awal tindakan Saidina Hasan tidak dipersetujui oleh tentera dan penduduk Iraq, tetapi akhirnya mereka terpaksa akur apabila Saidina Hasan sendiri bertegas untuk berbuat demikian. Ini sejarah penting perdamaian umat Islam.

Kesimpulannya, tindakan UMNO kebelakangan ini tidak boleh dilihat secara negatif kerana persepsi ini adalah pemula kepada keretakan. Mungkin tindakan mereka akibat rasa ‘terancam’.

Hakikatnya, bukan sahaja UMNO, bukan sahaja parti politik dan manusia, bahkan semua makhluk bertindak agresif apabila mereka mula rasa terancam.

Justeru itu, perdamaian dan penyatuan memerlukan formula ‘berikan rasa keamanan’ sebagaimana dalam kisah Saidina Hasan dan Muawiyah.

Pertamanya, letakkan nasib dan masa depan umat Islam terutamanya golongan yang lemah di hadapan.

Keduanya, amankan semua pihak daripada perasaan ‘rasa terancam’; yang kuat perlu diraikan dan yang lemah perlu dibela.

Perlu terapkan, mereka kuat kita pasti akan kuat, kita kuat mereka juga pasti akan kuat.

 

Zaharudin Muhammad
Bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Suara Merdeka.

(Visited 30 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button