Nasional

139 Tabika dan Taska di Kedah ditutup

KESAN daripada kluster Sivagangga terus membelenggu penduduk negeri Kedah dengan perkembangan terbaharu, 139 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) termasuk enam taman asuhan kanak-kanak (Taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditutup.

Semua Tabika dan Taska yang ditutup itu terletak di empat daerah berikutan penularan kes COVID-19 membabitkan Kluster Sivagangga.

Ia membabitkan 121 Tabika dan dua Taska di daerah Kubang Pasu, lapan Tabika dan dua Taska di Padang Terap, satu Tabika di Kulim Bandar Baharu dan lima Tabika di Kuala Kedah.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Yasid Bidin berkata, tidak ada tempoh ditetapkan berapa lama akan ditutup.
Tetapi katanya,  ia bergantung kepada perkembangan dan maklumat lanjut daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Walaupun tiada laporan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak mahupun ibu bapa, penutupan itu terpaksa dilakukan sebagai langkah awal mengawal penularan wabak.

“Kita perlu mengambil langkah proaktif kerana ia membabitkan kepentingan dan keselamatan murid,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hendry Sum Agong menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan set peralatan perlindungan diri (PPE) Kemas Negeri Sembilan, di Seremban, hari ini.

Katanya, keseluruhannya terdapat  800 Tabika dan Taska di Kedah yang mana penutupan itu menimbulkan  rungutan daripada ibu bapa terutama yang bekerja.

Tetapi katanya, perkara itu terpaksa dilakukan demi keselamatan semua pihak. – SM

 

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button