Politik

Kejutan terbesar Shafie Apdal kembali jadi Ketua Menteri Sabah?

TANDA tanya siapakah bakal jadi Ketua Menteri Sabah yang baharu memasuki episod baharu dan kian menarik apabila nama Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut tersenarai selain daripada nama Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Hajiji Noor.

SUARA MERDEKA difahamkan nama Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dicadangkan oleh pihak tertentu kepada Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Juhar Mahiruddin.

“TYT dijangka membuat pengumuman nama Ketua Menteri tengah hari esok antara Bung (Moktar), Hajiji atau Shafie,” kata sumber malam ini.

Parti Warisan yang mengepalai gabungan Warisan Plus dianggotai UPKO, DAP, PKR dan Amanah meraih 32 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri semalam, kurang enam kerusi (38) dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun Warisan merupakan parti tunggal yang memenangi kerusi terbanyak, 29 kerusi berbanding Perikatan Nasional (17) dan BN (14).

GRS disertai Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Negeri Di Bawah Bayu sering menyaksikan pergolakan politik yang tidak disangka-sangka, di luar dugaan dan mengejutkan.

Tun Juhar sendiri pada 30 Julai lalu tidak membenarkan sekumpulan 14 ADUN penyokong bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman untuk menghadap beliau berikutan Musa mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah dengan sokongan 33 ADUN untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah.

Namun tidak lama kemudian Mohd. Shafie yang juga ketua menteri membuat satu sidang media mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Tun Juhar.

Pada 10 Mei 2018 lalu, Musa Aman yang memiliki majoriti mudah selepas mengetuai BN Sabah menang dalam PRU-14, sempat mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Itupun bukan mudah. Dia diberikan jadual majlis angkat sumpah dari 9 pagi 10 Mei, ke pukul 3 petang, ke pukul 8 malam dan akhirnya dapat mengangkat sumpah pada pukul 11.15 malam.

HAJIJI NOOR

Tetapi Musa Aman hilang majoriti apabila beberapa ADUN daripada UMNO serta parti komponen BN Sabah iaitu UPKO melompat parti dan menyatakan sokongan terhadap Parti Warisan Sabah diketuai Mohd. Shafie.

Beberapa episod politik di Sabah melibatkan angkat sumpah pemimpin yang menang turut melibatkan kuasa Yang Dipertua Negeri selaras Perlembagaan yang diperuntukan.

Pada 1985 Tun Mustapha Datu Harun dilantik sebagai Ketua Menteri meskipun jumlah kerusinya, USNO sedikit berbanding bilangan kerusi Tan Sri Pairin Kitingan menerusi PBS yang menang 25 kerusi daripada 48 yang dipertandingkan.

Walaupun Tun Mustapha mengangkat sumpah, akhirnya terbatal kerana beliau tidak mempunyai sokongan majoriti mudah, selain tidak mengikut Perlembagaan Negeri yang menggariskan bahawa hanya parti yang mempunyai kerusi terbanyak mempunyai hak dilantik ke jawatan Ketua Menteri atau dengan kata lain, membentuk kerajaan negeri.

Pada 1994 berulang lagi apabila Pairin terpaksa berkampung di luar Istana menunggu dilantik. Seperti juga keputusan PRN tahun 1985, pada PRN 1994, PBS juga menang 25 kerusi daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.

Meskipun Pairin dapat mengangkat sumpah, akan tetapi kabinet beliau belum sempat mengangkat sumpah. Dan tidak sampai sebulan Pairin kehilangan jawatan itu kerana terpaksa meletakkan jawatan kerana kehilangan majoriti mudah apabila dua ADUN berpaling tadah. – SM

 

(Visited 755 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button