fbpx
Politik

Spekulasi pembelotan membabitkan Warisan makin kuat

SEKUMPULAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  yang baru dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipercayai mengadakan pertemuan dengan presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal malam tadi.

Pertemuan itu dikatakan berlarutan hingga tengah malam.

Ia meningkatkan lagi spekulasi mengenai kemungkinan akan berlaku pembelotan sama ada di pihak Warisan mahupun GRS.

Menurut sumber yang pasti mereka semua berkumpul  di rumah Mohd Shafie.

Mesyuarat itu dikatakan berlaku beberapa jam selepas Parti Bersatu Sabah (PBS) secara tidak langsung menuduh Warisan cuba memikat ADUN mereka untuk berpaling tadah, setelah Warisan gagal memperoleh majoriti pada pilihan raya negeri.


Kenyataan PBS mengatakan bahawa tawaran wang dan kedudukan telah dibuat.

Sebelum itu, awal pagi semalam Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai menafikan dakwaan bahawa parti itu sekarang akan bergabung dengan Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mempersoalkan apakah Warisan menggunakan politik wang setelah berkempen menentang rasuah politik.

“Adakah parti kapal sekarang bermain politik wang untuk mencipta katak politik setelah kalah dalam pilihan raya negeri ?” Katanya.

GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS memenangi sejumlah 38 kerusi dalam pilihan raya negeri.

Warisan Plus menang 32, kekurangan lima kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah, sementara tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas.

TIga kerusi bebas itu kini dikatakan sudah memihak kepada GRS.

Semalam juga Pengerusi UMNO dan Bersatu Sabah sudah membuat kunjungan ke atas Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahirudin namun, beliau meminta tempoh sebelum menerima mana-mana nama untuk angkat sumpah. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button