Politik

PRN Sabah: PBS dakwa calon menang dihubungi untuk beli kerusi

PARTI Bersatu Sabah yang menjadi sebahagian daripada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendakwa calon parti itu yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu lalu ditawarkan wang agar mereka menyertai parti lawan untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut Facebook rasmi parti itu, kumpulan terbabit telah menghubungi calon PBS yang menang untuk membeli kerusi terbabit.

“Mainan politik kotor oleh parti lawan yang pada masa kempen kononnya mengamalkan nilai prinsip dan maruah, nilai kesatuan dan integriti – kini berubah wajah, berubah rupa. Mereka yang kononnya parti tempatan lebih baik dari parti Malaya tapi sebenarnya bertopengkan musang.

“Kerana mahukan jawatan dan kuasa, parti ini mula menghubungi YB YB PBS untuk membeli kerusi. Mereka sanggup menawar duit dan jawatan untuk YB YB PBS,” kata laman rasmi PBS.

Calon-calon PBS PRN Sabah

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah semalam PBS menang 7 kerusi Dewan Undangan Negeri menyumbang kemenangan GRS yang memperoleh 37 kerusi. Parti Warisan Plus ketika ini mempunyai 32 kerusi.

Parti yang bertanding memerlukan sekurang-kurangnya 36 kerusi DUN untuk mendapatkan majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Negeri.

“PBS bukan parti yang baru dibina kelmarin, PBS bukan parti yang murahan dan tidak berwibawa. PBS terbentuk dari rakyat, oleh rakyat dan bagi rakyat. PBS pernah dianiaya, difitnah dan dicaci, tapi PBS kekal berdiri untuk rakyat. PBS berpegang pada prinsip dan maruah, PBS akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.

Dalam kempen pilihan raya sebelum ini Warisan Plus antara lain mahu pengundinya menghukum wakil rakyat yang melompat parti yang disifatkan sebagai katak.

Malah penyokong Warisan turut mengadakan majlis makan malam bertemakan katak diadakan untuk meraih sokongan kepada calon PKR dan Warisan Plus di sebuah pusat penjaja di Kota Kinabalu.

Acara itu menyaksikan calon dan anggota parlimen memanggang sate katak sebagai simbolik menolak ahli politik yang melompat parti sehingga menyebabkan pilihan raya negeri Sabah ketika ini.

Kira-kira 150 anggota dan penyokong parti, kebanyakannya memakai kemeja-T yang menampilkan imej Ketua Menteri Shafie Apdal, melayani orang ramai dengan hidangan katak.-SM

 

(Visited 482 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button