JenayahNasionalNegeri

Zon Maritim Kuala Perlis rampas 157 set bubu naga

TAKTIK baharu menggunakan pelampung kecil sebagai penanda lokasi letaknya bubu naga supaya dapat menggaburi pihak berkuasa ternyata tidak semudah itu. Sebaliknya individu mahupun kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini terpaksa berputih mata.

Ini berikutan sebanyak 157 set bubu naga (bubu kambang) telah dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis.

Taktik baharu mengunakan pelampung kecil lokasi bubu naga berjaya dipatahkan. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu naga itu dikesan pada lima kedudukan berbeza.

“Ia telah diletakkan di 0.40 batu nautika daripada barat Kuala Perlis, Perlis, 0.58 batu nautika daripada barat daya Kuala Perlis, Perlis, 0.59 batu nautika daripada barat pesisir pantai Kuala Perlis, Perlis, 0.45 batu nautika daripada barat pesisir pantai Kurung Tengar, Perlis dan 0.61 batu nautika daripada barat pesisir pantai Kurung Tengar, Perlis pada sekitar pukul 3 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media petang ini.

Mohd Hashim berkata, bubu ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan bersama Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Kedah menerusi Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Mardof di perairan Negeri Perlis.

“Pada masa itu dikesan terdapat pelampung-pelampung bersaiz kecil yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pelampung-pelampung kecil tersebut adalah penanda lokasi di mana bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Taktik ini telah diubah bagi mengaburi mata penguatkuasa yang sebelum ini menggunakan pancang-pancang kayu sebagai penanda kedudukan bubu naga yang telah dipasang,” katanya.

Beliau berkata, kesemua bubu naga dan udang yang dianggarkan bernilai hampir RM19,000 itu telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Mohd Hashim berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan di samping menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai yang lain.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penangkapan hasil laut secara salah dan dilarang walaupun telah banyak rampasan bubu naga dilakukan sebelum ini namun aktiviti itu dilihat terus aktif dilakukan.

Sebanyak 157 bubu naga telah berjaya dirampas di lima lokasi di perairan Kuala Perlis. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Justeru Maritim Malaysia akan terus membuat rondaan dan pemantauan di perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa.

Maritim Malaysia juga turut meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan kes seperti ini di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

BACA Maritim Malaysia akhirnya dapat kapal OPV pertama

(Visited 56 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button