Nasional

Maritim Malaysia akhirnya dapat kapal OPV pertama

MARITIM Malaysia akhirnya memiliki kapal peronda luar pesisir pertama (OPV1) selepas ia tertangguh hampir tiga tahun.

Kapal itu telah diserahkan oleh TH Heavy Engineering Berhad (THHE) secara rasminya, malam tadi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

OPV1 dikatakan mampu bertindak sebagai mothership atau kapal induk bagi memperkuat kesiapsiagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga perairan negara.

OPV

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi berkata, kapal tersebut yang dibina menggunakan reka bentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter itu berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka panjang iaitu 21 hari tanpa ulang bekal.

“OPV1 ini juga didatangkan bersama Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 orang anak kapal dalam satu operasi.

“Kapal ini juga mampu mencapai kelajuan 21 knot serta mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan,” katanya  ketika berucap pada majlis penyerahan OPV1 kepada KDN di Pelabuhan Klang malam tadi.

Ruji berkata, kapal berkenaan juga berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap tujuh selain melaksanakan tugas-tugas seperti bantuan kemanusiaan dan bencana.

Selain itu katanya, ia juga bertindak sebagai kapal logistik, kapal mothership, kapal pemerintah serta menjadi serta menjadi tempat penyimpanan peralatan pencemaran minyak.

Beliau berkata OPV1 juga dilengkapi dengan peralatan canggih seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, dua bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan Fast Interceptor Craft.

Ruji berkata penyerahan OPV1 ini adalah satu lagi detik bersejarah kepada kementerian itu kerana telah berjaya memastikan kapal peronda buatan tempatan tersebut siap dibina setelah beberapa kali tertangguh akibat penularan Covid-19.

“Diharapkan OPV1 mampu memperkasakan lagi pengoperasian APMM dalam menguatkuasakan undang-undang maritim seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya. – SM

 

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button