Nasional

Ekonomi Kembali Rancak Selepas Pembukaan Sempadan Malaysia – Singapura

Pembukaan sempadan negara pada 1 April ini selepas banyak syor dan gesaan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN); sudah pasti dinanti-nantikan rakyat Malaysia dan Singapura, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keputusan itu pasti akan merancakkan kembali aktiviti ekonomi sekali gus dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu khususnya untuk anak-anak muda.

“Sekatan perjalanan rentas sempadan yang dilaksanakan menyebabkan banyak aktiviti ekonomi tergendala dan ramai penduduk Johor tidak dapat kembali bekerja di Singapura, begitulah sebaliknya,” katanya menerusi teks dalam FB beliau malam ini.

Menurutnya, beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Mersing hari ini menghadiri program Dialog Orang Muda Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Kampung Air Tawar dekat Endau di sini.

Pada majlis itu, Muhyiddin berpeluang menjelaskan peranan MPN bagi memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat terutama Kumpulan B40, M40, golongan muda, wanita dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya memberi contoh bagaimana Johor menjadi negeri yang menerima kesan besar akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Mengenai isu perumahan rakyat termasuk untuk golongan muda yang berlarutan sehingga sekarang, Muhyiddin menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional akan memastikan isu rumah mampu milik diselesaikan sebagaimana terkandung dalam Ikrar Perikatan Nasional jika diberi peluang mentadbir negeri ini.

Pada sebelah petang pula, beliau meluangkan masa menikmati makanan laut bersama komuniti Cina di Medan Ikan Bakar Endau.

“Sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina di sini amat mengalakan dan rata-rata mengharapkan agar perniagaan yang dijalankan akan menjadi semakin rancak,” katanya.

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button