BeritaNasional

Seorang dalam 10 lelaki, seorang dalam 9 wanita M’sia berdepan risiko kanser

LAPORAN Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 menganggarkan bahawa risiko seumur hidup penyakit kanser yang dihadapi golongan lelaki dan wanita di Malaysia ialah masing-masing satu dalam 10 orang (1/10) dan satu dalam sembilan orang (1/9).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sejak sedekad yang lalu, kanser adalah antara lima sebab kematian utama di Malaysia.

Berdasarkan Fakta-Fakta Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) 2019, beliau berkata, kanser menyumbang kepada 11.82 peratus kematian di semua hospital kerajaan berbanding 9.08 peratus pada 1999.

Oleh itu, katanya, pengesanan awal dan rawatan segera boleh meningkatkan peluang untuk pulih tetapi malangnya, pengesanan lewat adalah biasa dalam kalangan pesakit kanser di negara ini.

“Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 mendedahkan bahawa 60 peratus kanser di Malaysia dikesan pada peringkat terlalu lewat (tahap 3 dan 4).

“Mengesan kanser di tahap yang sudah lewat membawa kepada kos rawatan lebih tinggi dan mengurangkan peluang untuk pulih,” katanya ketika merasmikan Hari Kanser Sedunia 2020 di KL Sentral semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Dr. Dzulkefly mendedahkan bahawa segelintir rakyat Malaysia lebih menaruh kepercayaan terhadap rawatan alternatif (tradisional) bagi kanser.

“Dalam banyak contoh, kesemua pesakit ini telah mendapatkan rawatan pemulihan tradisional termasuk bomoh sebagai pilihan pertama rawatan selepas didiagnosis oleh doktor. Hanya selepas pendekatan alternatif itu gagal, barulah mereka mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Dr. Dzulkefly juga berkata, 30 hingga 50 peratus penyakit kanser boleh dicegah menerusi gaya hidup sihat.

Sementara itu, dalam sidang media beliau berkata, kepercayaan terhadap perubatan alternatif menjadi antara kekangan dalam rawatan kanser.

Beliau berkata, pembabitan semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan dan pihak swasta, adalah perlu bagi mempertingkat aspek pendidikan perubatan kepada masyarakat.

“Ia tidak hanya bergantung kepada Kementerian Kesihatan sahaja tetapi semua pihak mesti menggembleng tenaga untuk memberi penerangan sebenar berkaitan kanser yang boleh dicegah dan dirawat selain aspek gaya hidup sihat,” katanya.

Sementara itu, mengulas usaha kerajaan untuk menambah bilangan pakar onkologi dalam negara yang berjumlah 114 orang ketika ini, Dr. Dzulkefly berkata, 52 pakar dalam bidang tersebut dilahirkan setiap tahun melalui program latihan dan pengajian.

Beliau berkata, kerajaan turut meletakkan sasaran agar jumlah pakar onkologi dapat ditambah kepada seorang pakar bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia dalam usaha meningkatkan khidmat rawatan kanser.

— BERNAMA

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button