Nasional

Kakitangan PoGH: Terima gaji separuh atau berhenti serta merta!

BEBERAPA hari sebelum satu kenyataan dikeluarkan dalam sebuah portal berita tempatan berhubung langkah pihak pengurusan Hotel Palace of the Golden Horses (PoGH) untuk menutup operasinya sehingga pertengahan tahun depan.

Luahan kebimbangan para kakitangan cuba dibawa ke tengah dengan harapan, didengari oleh pihak pengurusan tertinggi Hotel Palace of the Golden Horses (PoGH) Mines, Seri Kembangan, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

PoGH kalau diikutkan ialah sebuah hotel yang bukan bertaraf lima bintang sebaliknya layak diberikan enam bintang kerana sejarah yang dicatat oleh hotel tersebut yang pernah menerima tetamu ‘prominent figure’ dari luar negara.

Tetamu-tetamu kehormat seperti pemimpin-pemimpin besar luar negara pernah menginap di PoGH, termasuk dari United Kingdom, Afrika Selatan serta negara-negara jiran kita.

Bahkan hotel yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu menjalankan operasinya dengan baik di bawah pihak pengurusan yang diterajui oleh Pengarah Urusannya.

Menurut sumber, kakitangan PoGH diminta mengambil cuti tanpa gaji selama lapan bulan, bermula 1 Mei ini sehingga 1 Disember ini, iaitu hujung tahun 2020.

Makluman berikutnya, dengan persetujuan, selepas tandatangan, syarikat akan membayar gaji untuk bulan Mei, itupun separuh sahaja bayaran gaji. Pembayaran gaji separuh ini akan berlanjutan sehingga Disember ini sebagai sara hidup.

Maklumat yang diterima oleh kakitangan PoGH itu lagi, sesiapa yang tidak bekerjasama dalam hal ini (diatas), mereka tidak akan diberi gaji separuh seperti yang dinyatakan atau dijanjikan dan mereka boleh berhenti kerja serta merta.

Kakitangan berstatus tetap bekerja di PoGH jika diberhentikan, pihak PoGH perlu membayar pampasan dan itu tidak akan dilakukan oleh pihak pengurusan atau syarikat.

Bagi kakitangan PoGH, pihak majikan mengambil kesempatan untuk tidak membayar pampasan kepada pekerja dengan memberikan alasan wabak pendamik COVID-19 yang melanda.

Perkhabaran buruk ini diterima dalam bulan Ramadan menambahkan lagi rasa sedih di hati kalangan kakitangan PoGH yang bakal berhadapan dengan mega mendung.

Untung nasib mereka, tiada siapa yang tahu bahkan menurut sumber lagi, pekerja yang diminta berhenti, kemungkinan besar tidak mendapat Skim Insurans Pekerja (SIP) Perkeso. Namun itu perlu disemak dengan pihak Perkeso.

Dalam dunia korporat, PoGH banyak membuat kerja-kerja amal dan kemasyarakatan. Itu tidak dapat dinafikan namun dalam situasi yang melanda negara sekarang disebabkan oleh COVID-19, natijahnya memang dirasai oleh semua. Tidak ada yang terkecuali.

Cuma bezanya, nasib para pekerja hotel itu yang memerlukan bantuan, siapakah yang sudi membantu apabila perkhidmatan mereka ditamatkan dalam dua tiga hari sahaja lagi.

Biarpun apabila Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19, tidak bermakna para majikan dengan sewenang-wenangnya boleh mengarahkan pekerjanya, berhenti.

Kalau mengikut perjanjian di antara kakitangan dengan majika, sekiranya kakitangan diberhentikan perkhidmatan, mereka akan dibayar pampasan.

“Jangan jadi kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.” Fikirlah nasib para pekerja PoGH yang bukan sedikit, tetapi ramai bilangannya.

Seperkara lagi, ura-ura dalam kalangan kakitagan hotel tersebut bertebaran, kononnya PoGH akan menjadi tempat kuarantin pesakit COVID-19.

Keputusan untuk menyuruh para kakitangan atau pekerja berhenti, adakah keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan atau pemilik  PoGH?

Kalau pemilik yang tampil dengan solusi ini, fikirlah sekali lagi dan cubalah timbang nasib kakitangan hotel yang bakal kehilangan pekerjaan dalam waktu terdekat ini.

Dengan gaji yang separuh, bulan puasa kemudian nak raya walaupun Hari Raya Aidilfitri, kita semua duduk dalam rumah, bagaimanakah mereka ini akan memberi perkhabaran buruk kepada isteri dan anak-anak kelak?

Borang akuan pengesahan cuti tanpa gaji secara sukarela sudahpun berlegar dalam kalangan kakitangan PoGH.

Semoga ada sinar bagi kakitangan PoGH. – SM

(Visited 600 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button