Nasional

Israk Mikraj: Berdoa mohon dijauhi bahana COVID-19

SELEPAS Maghrib ini adalah malam Israk Mikraj.

Barangkali ramai terleka dengan kisah COVID-19, dengan rata-rata dalam Facebook, WhatsApp dan media sosial yang lain serta media elektronik tidak banyak mahu mengingatkan kita tentang malam ini.

Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa – mohon dijauhkan diri dan keluarga daripada bahana wabak COVID-19 ini.

Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan.

Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Besar kita Muhammad SAW terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12.

Umat Islam diberi kesempatan meraikan peristiwa luar biasa yang tercatat dalam sejarah Islam ini iaitu pengembaraan agung Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin (Israk) dan ke langit bertemu Allah SWT (Mikraj) hanya dalam tempoh sebahagian malam sahaja.

Peristiwa luar biasa itu dijelaskan Allah SWT dalam Surah al-Israk pada ayat pertama yang bermaksud: “Maha Suci Allah, yang membawa hamba-Nya mengembara pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Peristiwa terakam dalam al-Quran itu membuktikan kehebatan Allah SWT mengurniakan mukjizat kepada Nabi SAW sebagai tanda kerasulannya kepada golongan kafir yang tidak mempercayai dakwah baginda.

Hakikatnya, Israk dan Mikraj bukan sesuatu yang susah atau aneh bagi Allah SWT untuk melakukan demikian kerana Dialah Tuhan yang menjadikan segala kewujudan ini dari tiada kepada ada.

PENGEMBARAAN BUKAN MIMPI

Ulama salafussoleh, khalafussoleh, ahli hadis, ahli kalam, ahli tafsir, ahli fiqh dan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bersepakat bahawa Baginda menempuh pengembaraan agung itu dalam keadaan sedar, bersama roh dan jasad bukan dalam bentuk mimpi.

Ketika Mikraj, Nabi Muhammad SAW mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu terus daripada-Nya tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril. Ulama sepakat peristiwa itu terjadi pada 27 Rejab beberapa tahun selepas Baginda menjadi Nabi.

Sudah tentu, kembara Nabi Muhammad pada malam itu dianggap sebagai peristiwa agung dan luar biasa bukan sahaja pada zaman baginda, malah sepanjang zaman.

Allah hendak menunjukkan kehebatan-Nya kepada seluruh manusia bahawa Dia Maha Berkuasa membawa Nabi Muhammad mengembara dalam tempoh satu malam dari dua masjid yang jauh dan kemudian diangkat pula ke langit.

Ahli tafsir berpendapat, ayat pertama surah al-Israk itu sudah menjelaskan dengan terang bahawa Israk dan Mikraj memang peristiwa yang hebat. Jika tidak ditafsirkan pun, memang ia sesuatu kejadian yang hebat.

Malangnya ada segelintir umat Islam yang tidak menerima perbuatan meraikan peristiwa Israk dan Mikraj dengan memberi alasan ia bidaah kerana tidak dilakukan Baginda SAW serta sahabat.

Masyarakat perlu sedar golongan sahabat tidak meraikan peristiwa Israk dan Mikraj kerana mereka menghayati semangat terkandung pada peristiwa itu dalam amalan kehidupan seharian berbeza dengan umat Islam hari ini.

Umat Islam bukan saja wajib meyakini peristiwa Israk dan Mikraj kerana ia termasuk dalam perkara ghaib, bahkan perlu memahami maksud tersurat dan tersirat yang terkandung dalam ayat itu.

Ahli tafsir turut berpendapat, ayat berkenaan bukan saja menceritakan peristiwa hebat itu tetapi turut menjelaskan kemuliaan masjid. Walaupun masjid yang disebut ialah Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa, sebenarnya ia menjelaskan kepentingan masjid secara keseluruhannya.

GANJARAN BESAR

Masyarakat mengetahui ganjaran besar yang diperoleh jika seseorang beribadah di Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa, namun aspek lain yang perlu diberi penekanan umat Islam ialah peranan masjid.

Masjid disebut secara khusus dalam ayat itu dan menjadi bukti ia bukan saja-saja dipilih oleh Allah, sebaliknya menunjukkan masjid mempunyai peranan cukup besar dan hebat.

Peranan masjid hari ini perlu selari dengan perkembangan zaman. Masjid tidak patut dilihat sebagai tempat menunaikan solat semata-mata sebaliknya perlu menjadi institusi paling rapat dengan masyarakat secara keseluruhannya.

Masjid dan surau adalah landasan bagi umat Islam untuk bersatu, bermuafakat dan mencipta kecemerlangan dalam hidup kerana tanpanya, hidup umat tidak akan terpandu dengan lancar.

Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu) maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18). – SM

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button