Nasional

Kena kuarantin di India kerana berada di kawasan perhimpunan tabligh

RAKYAT Malaysia di India dalam video yang tular di media sosial kena kuarantin kerana berada di kawasan berhampiran Markaz Nizamudin.

Markaz tersebut  merupakan tempat perhimpunan jemaah tabligh yang berisiko tinggi menularnya virus maut COVID-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya telah berhubung dengan Kementerian Luar Negeri India berhubung perkara itu. Pihak kerajaan India berjanji akan beri perhatian dan kerjasama sepenuhnya menyelesaikan isu terbabit.

Hishammuddin mengulas klip video yang tular di media sosial dan Whatsapp sekumpulan rakyat Malaysia yang meluahkan perasaan kerana dikuarantin di sebuah kawasan yang disifatkan sebagai kotor dan kurang kemudahan.

“Ramai tanya saya berkenaan video yang tular mengenai rakyat Malaysia di India semalam.

“Saya ingin maklumkan bahawa rakyat Malaysia tersebut telah dikuarantin oleh pihak berkuasa India kerana mereka berada di Markaz Nizamudin – salah satu kawasan di India yang berhampiran dengan tempat perhimpunan tabligh yang berisiko tinggi menularnya #COVID19,” jelas Hishammuddin.

Menurut Hishammuddin, Wisma Putra mahu isu berkenaan diselesaikan secepat mungkin dan akan mendapatkan sebab sebenar di sebalik kejadian tersebut.

Dalam video yang tular itu beberapa rakyat Malaysia meluahkan rasa sedih kerana tempat mereka dikuarantinkan berhabuk dan kotor.

Selain itu mereka juga mendakwa tinggal sehelai sepinggang kerana apabila pihak berkuasa India mengambil mereka dari hotel telah memberitahu tidak perlu membawa beg pakaian kerana hanya mahu di bawa ke hospital untuk memeriksa darah.

Dalam video tersebut, mereka turut mengeluh kerana sukar untuk mendapatkan makanan selain mendakwa penerbangan pulang adalah sehari selepas mereka dikuarantinkan.

Sementara itu BERNAMA melaporkan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, video tular berhubung keadaan daif pusat kuarantin di India baru-baru ini, Kamarudin berkata rakyat Malaysia yang dikuarantin oleh pihak berkuasa negara itu adalah mereka yang terlibat dalam perhimpunan tabligh di Markaz Nizamudin pada 10 hingga 13 Mac lepas.

“Kementerian Luar Negeri menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah berhubung dengan Kerajaan India khususnya Kementerian Luar Negeri (MEA) India di mana mereka berjanji akan memberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya. Saya juga telah mengarahkan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi untuk melawat dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin tersebut,” katanya.

Sementara itu, Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata seramai 66 penumpang terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 22 rakyat Singapura dan seorang warganegara United Kingdom (pasangan kepada rakyat Malaysia) tiba di KLIA pukul 8.05 malam ini dari Nepal. -SM

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button