Nasional

Pertemuan hartawan Indonesia tiada kaitan dengan REE

PERDANA Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau membawa hartawan Indonesia, Riza Chalid ke Kedah untuk menghadap Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Bagaimanapun, Anwar berkata, pertemuan diadakan sebelum pembubaran Parlimen tahun lalu hanya kunjungan hormat terhadap Sultan Kedah yang disusun pihak istana dan tidak menyentuh langsung mengenai sumber unsur nadir bumi (REE) seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Nor.

“Menghadap Tuanku itu jadual bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah. Jadi, saya tidak mahu kaitkan. Itu pertemuan Sultan Kedah.

“Pertemuan saya dengan sahabat saya dengan Sultan Kedah, di istana. Dia tak ada kaitan dengan perniagaan dalam bidang itu, tidak,” katanya selepas merasmikan sidang kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia.

Anwar menjawab dakwaan Sanusi yang beliau dan Reza pernah ke Kedah untuk memohon tanah perlombongan REE sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, tiada sebarang permohonan dibuat ahli perniagaan Indonesia untuk mengusahakan aktiviti REE di Kedah.

“Isu dia ini, kalau dia memohon (projek REE), itu bukan kepada Sultan Kedah,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri Anwar membidas Sanusi yang disifatkan sengaja mengalihkan isu berkenaan yang sehingga kini gagal menjawab kecurian sumber REE di negeri itu.

Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan tindakan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah membayar kompaun berhubung isu kecurian REE, jika benar Sanusi dan MBI Kedah tidak terbabit dalam isu itu.

Nik Nazmi berkata, apabila kes pertama perlombongan haram dikesan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, satu kertas siasatan dibuka mengikut Enakmen Perhutanan Negara dan kertas siasatan lengkap dirujuk kepada pengarah pendakwaan Kedah.

Katanya, MBI Kedah juga dikenakan kompaun RM130,000 selain Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri membuka kertas siasatan mengikut Enakmen Mineral Negeri serta mengenakan kompaun sebanyak RM500,000. – SM

 

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button