Nasional

Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak YDP Pulau Pinang ke-8

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik bekas Diplomat, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang kelapan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, hari ini berkata kerajaan negeri telah dimaklumkan secara rasmi mengenai pelantikan itu pada 8 April.

Ahmad Fuzi akan menerima watikah pelantikan pada 30 April di Istana Negara manakala istiadat angkat sumpah jawatan akan berlangsung pada 1 Mei di Dewan Sri Pinang di sini, katanya pada sidang media di sini.

“Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, kami mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang kelapan,” katanya.

Kon Yeow juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketujuh, Tun Abdul Rahman Abbas atas jasanya selama 20 tahun berkhidmat.


Kon Yeow berkata beliau dan kerajaan negeri telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Abdul Rahman pada 12.30 tengah hari tadi untuk memaklumkan kepada beliau mengenai pelantikan Ahmad Fuzi

Dilahirkan di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 8 Januari 1949, Ahmad Fuzi menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara pada tahun 1972 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri sehingga tahun 2009.

Beliau pernah mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa dan terlibat dalam penganjuran sidang kemuncak seperti Sidang Kemuncak NAM, Sidang Kemuncak OIC dan Sidang Kemuncak ASEAN.

Dalam bidang korporat, beliau adalah Pengerusi pelbagai syarikat termasuk Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd, AsiaEP Bhd, Amanahraya REIT Bhd dan Ranhill Energy Resources Sdn Bhd.

Beliau kini adalah Setiausaha Agung Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia, Pengerusi Kumpulan ACE Holdings Bhd dan Pengerusi ACE Investment Bank Ltd, Seremban Engineering Bhd, Theatre Management Associates Sdn Bhd, IMAN Research Consulting Sdn Bhd dan TAERG International Sdn Bhd.

Beliau juga menganggotai Lembaga Gabenor Universiti Meritus dan merupakan Penasihat Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam.

Ahmad Fuzi mempunyai dua orang anak. — BERNAMA

(Visited 312 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button