Politik

N36 Sedili: Hasnolhadi santuni belia, akar umbi masyarakat sejak usia 15 tahun

KOTA TINGGI, 27 Feb: Calon Perikatan Nasional bagi N36 Sedili, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas, dari Kampung Simpang dan Rangkaian dekat Sedili di sini, menggunakan sebahagian besar masanya sejak berusia 15 tahun dengan menyantuni belia dan masyarakat.

Lagipun, pemuda yang dikenali sebagai Abang Hasnol ini bukan orang asing bagi penduduk Sedili kerana datang dari keluarga yang darah dagingnya komited berkhidmat untuk masyarakat.

Apa tidaknya, semua tujuh beradik lelaki keluarga ini terlibat dengan persatuan belia, kebajikan dan kemasyarakatan, politik serta badan bukan kerajaan (NGO).

Realiti ini suatu yang hebat bagi keluarga Hasnolhadi. Namun ini tidak pasti sama ada ia secara kebetulan atau tidak memandangkan bapanya, Mohd Sebalas Mohd, 74, atau Tok Mat Sebalas adalah mantan ketua kampung.

Hasnolhadi terlibat dengan politik apabila mulai giat menyertai kumpulan sokongan kepada program belia dan kemasyarakatan di Sedili seawal usia 15 tahun. Hari ini, anak muda berusia 35 tahun itu adalah Ketua ARMADA Bahagian Kota Tinggi.

Ketika ini, Hasnolhadi terlibat dengan 12 NGO di DUN Sedili, daerah Kota Tinggi serta peringkat Johor termasuk menerajui beberapa badan yang beliau tubuhkan sendiri antaranya Kelab Usahawan Anak Tanjung (KUAT).

Pencalonan Hasnolhadi juga sekali gus telah merealisasikan impian penduduk Sedili untuk melihat anak tempatan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Tak pernah ada calon dari Sedili untuk jadi wakil rakyat. Ini kali pertama dan saya memohon sokongan penuh dari seluruh pengundi Sedili untuk membuktikan anak Sedili mampu menjadi wakil mereka.

“Saya sudah ada pelan untuk membawa pembangunan yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk DUN Sedili selain meningkat ekonomi dan pendapatan peniaga kecil dan pengusaha perusahaan mikro dan kecil (PMK), operator chalet dan homestay mahupun komuniti nelayan tempatan.

“Beberapa projek pembangunan dan penyediaan infrastruktur juga akan saya teruskan daripada kepemimpinan Perikatan Nasional sebelum ini,” katanya.

Dengan sentimen pengundi DUN Sedili yang mahu wakil mereka dari kalangan anak tempatan, calon lawan dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Parti PEJUANG yang dikatakan dari luar, berdepan dengan laluan sukar untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac ini.

Apatah lagi, mantan ADUN Sedili, Rasman Ithnain telah berkhidmat dengan cemerlang dengan membawa pelbagai pembangunan, infrastruktur serta kemudahan awam.

Terbaharu, beliau telah melunaskan fasa pertama beberapa projek pembangunan antaranya, pembinaan jalan menghubungkan dari Gugusan Waha ke pekan Sedili serta kesinambungan kepada usaha menyusun dan membangunkan semula Pekan Sedili yang dilakukan mulai 2018.

(Visited 520 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button