Politik

Mustahil menang pun, PH tetap tanding di Chini mahu serang kerajaan

WALAUPUN di atas kertas Pakatan Harapan (PH) sukar merampas  kerusi DUN Chini, namun gabungan politik `22 bulan’ itu dipercayai tidak akan menarik diri bertanding kerana pilihan raya kecil (PRK) itu dilihat suatu `platform’ untuk menyerang  Perikatan Nasional (PN).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika ikut hukum hakam berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU-14)  lepas apabila UMNO dan PAS bersama,  jumlah undi calon kedua-dua parti apabila digabungkan sudah pun mencapai 94 peratus.

Sedangkan, calon PKR dari PH sekadar meraih enam peratus undi.

“Itu keputusan dulu (9 Mei 2018), kalau (PH) bertanding sukar bagi mereka.
“Tapi macam mana pun PH akan tanding (di Chini). Bila ada PRK, ada sebab dia nak turun  kutuk kerajaan (PN), Barisan Nasional.

“Tujuannya bukan nak menang, ada plafrorm nak serang kita. (Justeru) walaupun PRK pun kita kena bagi fokus,” kata Ahli Parlimen Pekan itu kepada SUARA MERDEKA baru-baru ini.

BN ditunjangi UMNO di Chini yang terletak di bawah Parlimen Pekan pada PRU-14 menang dengan majoriti 4,622 selepas mendapat 10,027 undi atau 47.2 daripada jumlah keseluruhan undi. PAS pula meraih 5,405 undi (25.4 peratus).

Sementara PH yang dalam PRU itu kesemua  calon parti sekutu mereka memakai lambang PKR, hilang wang pertaruhan.  Calon PKR sekadar meraih 1,065 undi (5.0 peratus).

Undi yang diperoleh calon UMNO dan PAS jika dicampurkan, berjumlah 15, 432.

Walaupun kalah di kesemua empat PRK pasca PRU-14 pada 2018 di Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson, namun BN kembali kuat pada 2019 dan awal 2020, dengan memenangi kesemua lima PRK lagi kecuali Sandakan yang tidak ditandingi.

Semasa tempoh setahun sebelum kerajaan PH tumbang Februari 2020,  isu dalam negara yang heboh diperkatakan adalah `ekonomi perut’ yang amat didambakan rakyat. – SM

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button