Politik

Sivamalar mahu MRSM dibuka kepada pelajar SJKC, SJKT, sekolah agama

SEORANG pemimpin wanita PKR menggesa agar lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dibenarkan untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

Ahli Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat, Sivamalar Genapathy juga mahu agar pelajar lepasan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) turut dibenarkan belajar di MRSM.

Beliau mengulas syarat kemasukan MRSM sesi 2022 yang menghadkan kemasukan calon kepada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sahaja.

Katanya, langkah tersebut bukan sahaja mendiskriminasi pelajar bukan bumiputera tetapi juga pelajar bumiputera yang bersekolah di selain daripada sekolah kebangsaan.

“Oleh itu, saya menyeru Yang Berhormat Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan pengurusan tertinggi MARA agar menarikbalik syarat kemasukan terbaru.

“Dan membuka ruang yang inklusif supaya pelajar pelbagai aliran seperti SJKC, SJKT, SABK dan SRAI mendapat akses kemasukan ke MRSM.

“Tindakan ini adalah selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru baru ini,” kata Sivamalar.

Beliau menyifatkan syarat tersebut sebagai terburu-buru dan separuh masak sekiranya hanya diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar bukan Bumiputera untuk bersekolah di sekolah kebangsaan.

Ini kerana menurut beliau mekanisme seperti meningkatkan mutu dan kualiti sekolah kebangsaan dari segi fasiliti, integrasi kaum, silibus matapelajaran, pengajaran, pembelajaran, pengajaran bahasa ibunda, tidak diimplementasikan sepenuhnya.

Elemen tersebut jika dilaksanakan dengan baik sudah tentu menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan nombor satu ibu bapa tanpa mengira kaum dan latar sosio ekonomi.

“Sejak tahun 2002, kerajaan juga secara rasmi telah memperuntukkan 10 peratus kuota kemasukan bukan bumiputera ke MRSM.

“Dalam kehangatan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-64, kerajaan mengambil langkah mundur ke belakang dalam menjalin harmoni hubungan antara kaum dan juga latar sosio ekonomi.

“Ia adalah sama sekali bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang meraikan Malaysia yang berbagai kaum. Menafikan hak mereka untuk memasuki MRSM adalah diskriminasi terang terangan yang dilakukan oleh kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan.-SM

(Visited 1,035 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button