BanjirNasionalNegeri

Pahang mula dilanda banjir, mangsa di Kelantan meningkat

PAHANG menjadi negeri terbaharu dilanda banjir sekali gus menjadikan lima negeri terkini yang terjejas banjir selepas Terengganu, Perak, Kelantan dan Johori.

Terengganu dan Kelantan merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir teramai setakat pagi ini berbanding malam tadi manakala jumlah mangsa di Johor dan Perak kekal.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan, 40 mangsa banjir daripada 13 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Pia, Raub.

Memetik laman web publicinfobanjir.water.gov.my Sungai Keratong di Rompin melebihi paras bahaya manakala Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Luit di Kampung Subuh serta Maran direkodkan pada paras amaran.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan kebanyakan daerah di Pahang termasuk Raub akan mengalami hujan pagi dan petang ini.

Di Kelantan, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,645 orang daripada 2,586 keluarga berbanding 5,642 orang daripada 1,679 keluarga malam tadi.

Ekoran itu, 80 PPS dibuka di sembilan jajahan iaitu di Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Enam sungai utama melepasi paras bahaya termasuk Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 38.29m.

Bacaan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.59m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.61m).

Di Johor pula, JPBN dalam kenyataannya memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang setakat 8 pagi ini dengan kesemua mangsa yang terdiri daripada 21 keluarga itu masih ditempatkan di tiga PPS yang beroperasi, setakat ini.

Seramai 34 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 27 orang masih berada di Balai Raya Kampung Kuala Paya manakala di Dewan Komuniti Kampung Tasek menempatkan 14 mangsa.

“Kesemua mangsa adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya,” katanya.

Menurut JPBN, paras air di tiga lembangan sungai di negeri ini, berada di paras amaran iaitu Sungai Muar, Buluh Kasap di Segamat menunjukkan bacaan 8.87 m, Sungai Lenik, Ladang Chaah di Segamat (5.76 m) dan Sungai Endau, Kampung Labong di Mersing (1.66 m).

Di Perak, mangsa banjir kekal 49 orang daripada 16 keluarga melibatkan dua PPS iaitu di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4, Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Selekoh. – SM

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button