fbpx
Politik

Musa Aman dibenar teruskan rayuan jawatan Ketua Menteri Sabah

MAHKAMAH Persekutuan hari ini membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman meneruskan rayuannya berhubung jawatan Ketua Menteri Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu memperoleh kebenaran selepas dua daripada tiga panel hakim bersetuju memberi kebenaran semasa prosiding terbuka petang tadi.

Susulan itu, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi mendengar keputusan rayuan.

Terdahulu, portal Malaysiakini memaklumkan, keputusan majoriti diberikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Rahman Sebli dan Zabariah Mohd Yusof.

Sebaliknya, ketua panel hakim, Mohd. Zawawi Salleh pula tidak bersetuju rayuan yang dikemukakan Musa Aman diteruskan.


Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Musa Aman berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kedudukannya sebagai Ketua Menteri Sabah.

Pada 28 Ogos tahun lalu, saman beliau bagi diisytihar sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah diketepikan Mahkamah Tinggi.

Ini kerana Mahkamah Tinggi menyatakan saman yang dikemukakan itu sebagai ‘akademik’.

Terdahulu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018, Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Beliau berbuat demikian ketika itu selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Bagaimanapun kedudukan beliau terguguat selepas beberapa ADUN dikatakan lompat parti menyokong Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Ekoran itu, Mohd. Shafie kemudian mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu menggantikan Musa Aman yang hilang sokongan.

Justeru, pada Julai lalu, keadaan politik di Sabah kembali bergolak apabila beberapa ADUN yang sebelum ini menyokong beliau berpaling tadah.

Susulan itu, ADUN Senallang itu bertindak membubarkan DUN bagi menentukan semula kedudukan politik negeri itu dengan memberikan semula mandat kepada rakyat.

Oleh demikian Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini seperti yang dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – SM

(Visited 5 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button