fbpx
Politik

Isu terowong: Guan Eng sepatutnya saman saya dan Ka Siong 

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk menfailkan saman fitnah terhadap beliau dan Presiden MCA Wee Ka Siong berhubung isu projek terowong di Pulau Pinang.

Cabaran itu dibuat selepas Guan Eng ‘menang’ kes saman fitnah dalam isu yang sama terhadap blogger Raja Petra Raja Kamaruddin.

“RPK tak kisah pun dia disaman oleh Guan Eng kerana dia langsung tidak terkesan apa jua keputusan mahkamah di sini. Guan Eng tahu ini, sebab itu dia saman di Malaysia sahaja dan tak saman di United Kingdom seperti apa yang PAS lakukan terhadap Clare Brown.

“Sebab RPK tak cabar kes di Malaysia ini, mahkamah perintah Guan Eng menang kes saman fitnah dia dengan cara penghakiman terus (summary judgment) tanpa perbicaraan.

“Nanti penyokong DAP akan keluarkan propaganda bahawa kemenangan Guan Eng dalam saman terhadap RPK ini adalah bukti bahawa dia tidak rasuah dalam skandal terowong,” dakwa Najib.

Pada 28 Februari lalu Bernama melaporkan, Guan Eng berjaya dalam saman fitnah terhadap Raja Petra yang membabitkan beberapa siri artikel mengenai projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Ini kerana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah memperoleh satu penghakiman ingkar terhadap pengendali portal berita secara online Malaysia Today itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail membuat keputusan selepas blogger berkenaan tidak menentang saman tersebut.

Pada 6 September tahun lepas, Guan Eng memfailkan saman fitnah berhubung beberapa siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ yang disiarkan Malaysia Today dalam versi bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia antara 24 Februari hingga 15 Mac 2019.

Artikel yang didakwa memfitnah itu berkaitan dengan siasatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dakwaan rasuah dalam projek infrastruktur di negeri Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan Lim melalui tiga akhbar pada 10 Februari tahun ini.

Sebelum itu, bekas Menteri Kewangan itu cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhirnya yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal.

“Guan Eng sepatutnya saman saya dan Wee Ka Siong juga dan bukan hanya saman RPK kerana kita juga dedah bukti-bukti dan tuduhan yang sama tentang skandal terowong ini.

“Nah! Saya bagi link tulisan skandal terowong saya sekali lagi supaya Guan Eng boleh saman saya.
https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10156580929675952

“Link itu sudah capai 5,300 kongsian dan telah dibaca oleh lebih 1 juta orang tapi Guan Eng tak saman pulak.

“Kenapa Guan Eng tak saman saya atau Wee Ka Siong tapi pilih untuk saman RPK sedangkan kedua-dua kita berada di Malaysia? Jawablah,” cabar Najib dalam Facebooknya hari ini.-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button