pilihanPolitik

Pas mahu terajui PN Melaka

Pas perlu menerajui Perikatan Nasional (PN) Melaka jika parti itu ingin memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 akan datang seperti mana yang berlaku di beberapa buah negeri dikuasai parti itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Tangga Batu, Mohd. Rajab Akmal Abdul Halim berkata, perkara itu dilihat wajar memandangkan gelombang rakyat kini lebih menerima Pas dan dibuktikan melalui kemenangan di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Menurutnya, sokongan rakyat terhadap parti itu di luar dari Pantai Timur pula semakin memuncak ia hampir-hampir mampu menawan Selangor, Perak dan Pahang.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu perlu mendapat restu daripada pucuk pimpinan Pas Pusat dan parti gabungan dalam PN sendiri.

Ujarnya lagi, jika PN memberi peluang Pas negeri untuk memimpin Melaka beliau yakin pimpinan parti negeri mampu dan telah bersedia bagi memastikan kemenangan pada PRN16 nanti.

“Pas tidak menidakkan keupayaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin namun untuk kita menang di negeri dan Pusat perlu ada parti dominan.

“Kita lihat Pas mempunyai ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen berbanding parti-parti lain dalam PN.

“Saya cukup yakin jika Pas diberi peluang menerajui PN di Melaka, peluang untuk parti menang dalam PRU16 adalah lebih cerah,” ujarnya di sini hari ini.

Ditanya mengenai hasrat Pas Melaka itu berkaitan persengketaan antara Pengerusi Bersatu dan PN Melaka yang juga ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof, Mohd. Rajab berkata, itu asam garam dalaman parti itu.

Katanya, masalah itu boleh diselesaikan di meja rundingan antara kedua-dua ADUN berkenaan agar ia tidak berlarutan hingga menjejaskan persiapan parti menghadapi PRN nanti.

Menurutnya, sokongan rakyat terhadap parti itu di negeri ini pula semakin memuncak apabila memenangi kerusi Parlimen Jasin dan Tangga Batu pada PRU15 yang lalu. – SM

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button