fbpx
Politik

Usul tidak percaya PM: Pemimpin Melayu tak perlu jadi gunting

ulama

BANGKAI gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru.

Dari desakan bertalu-talu supaya disegerakan sidang Dewan Rakyat konon hanya mahu dibincangkan isu wabak COVID-19, rupa-rupanya motifnya satu – usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hairan. Masyarakat Malaysia kelihatan tabik dengan apa yang dilakukan beliau dalam tempoh dua bulan ini sejak angkat sumpah 1 Mac lalu.

Menangani wabak COVID-19? Champion. Pakej rangsangan ekonomi? Puas hati. Malaysia? Stabil, tiada tunjuk perasaan, orang lapar mahupun bakar kereta.


Pendek kata, Muhyiddin begitu steady, cool. Beliau pantas, fokus dan faham keinginan rakyat ketika negara-negara tetangga dan sebahagian besar negara suatu ketika `termangu-mangu’ dalam membendung pandemik dunia itu.

Tambah pelik lagi, kekalutan besar politik Malaysia ini bukan dicetuskan DAP? Tidak.

Walaupun memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak, parti itu sanggup `sedekah’ jawatan ketua pembangkang kepada orang Melayu.

Lihat DAP. Jadikan contoh. DAP `biasa-biasa sahaja’ dalam politik. Tapi cukup luar biasa dalam memperjuangkan nasib kaumnya. Bukan itu sahaja, cerdik membawa sesuatu isu. Piawaian mereka dalam politik cukup tinggi. Fokus dan tahu bila masuk Kabinet, apa itu untung nasib perjuangan.

Tak macam kita orang Melayu. Dalam politik, asyik bergaduhlah memanjang.

Itulah senario politik yang melanda pemimpin Melayu. Bukan hari ini sahaja, tapi sudah lama dah. ‘Meletop’ bermula 1987 lagi, merebak ke 1997/1998, 2008, 2013, 2018, 2019…ah! sudah menjangkau tiga dekad rupanya.

Bercakap pasal komitmen Perdana Menteri, kalaulah sekarang dibuat tinjauan atau kaji selidik mengenai prestasi Muhyiddin, pasti agak sukar musuhnya mencari silapnya.

Jadi, apa penyakit politik Melayu ini?

Dalam pelbagai bentuk genre Melayu sama ada klasik mahu pun moden, banyak disebut tentang `penyakit’ hasad dengki.

Epik-epik Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Raja Donan sehinggalah novel-novel klasik hingga ke kontemporari mengungkapkan banyak `penyakit’ ini.

Pepatah Melayu berselirat merata memperkatakan “Air susu dibalas dengan air tuba; harapkan pegar, pegar makan padi; balik belakang, balik gagang; bau busuk tidak berbangkai; Berjalan peliharalah kaki, bercakap peliharalah lidah; Berkerat rotan, berpatah arang.”

Dalam The Malay Mind (1996), Abang Yusuf Puteh menyebut penyakit hasad dengki Melayu ini sebagai the most serious, dangerous and destructive traits of the Malay mind.

Ini diwakili dengki dan dendam. Kedua-duanya disingkatkan kepada 2Ds. Bagi beliau phd ini tidak lain ialah:
‘The basic philosophy in the Malay heart has been this ; that everybody should be equel inpoverty and misery, and that no one should be better off either in prosperity or social standing.’

Sesuatu yang harus ditelan oleh pesaing-pesaing politik ialah pasca pilihan raya umum ke-14 yang lepas dikatakan begitu berbeza dari apa yang pernah orang Melayu depani sebelum ini.

Tumbangnya Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO pada 9 Mei 2018 kelihatan melenyapkan penguasaan total politik bangsa Melayu.

Kata mereka, orang Melayu sudah hilang status quo dalam menentukan untung rugi, jatuh bangun dan simpang siur nasib bangsanya sendiri – meskipun masih membentuk bangsa majoriti dalam Malaysia.

Kefahaman mengenai kedudukan orang Melayu sebagai bangsa teras dalam kemajmukan Malaysia semakin pudar secara perlahan-lahan.

Prinsip first amongs equal atau ‘pertama di antara yang sama’ – sebagai prinsip asas pembinaan Malaysia semakin dicabar oleh pihak yang mahu menggantikannya dengan prinsip- prinsip yang lain.

Pembawakan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh parti tertentu dan sekutunya telah mengancam, membelenggu dan meresahkan setiap tubuh dan jiwa raga orang Melayu. Sama ada di desa mahupun di pinggiran bandar, orang Melayu merasakan bahawa ‘Malaysian Malaysia’ telah mencengkam identiti dan jati diri ke-Melayuan mereka.

Kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU-14 itu seakan satu kejanggalan. Janggal kerana hari ini, apabila orang Melayu mahu membela kepentingan bangsanya, mereka dikatakan rasis, tidak toleran dan pada satu ketika digelar pula sebagai ‘Taliban’.

Janggal kerana apabila orang Melayu mahu mempertahankan kedudukan Islam, mereka dikatakan ekstrem, walhal Islam sudah sedia termaktub sebagai agama Persekutuan.

Janggal kerana apabila orang Melayu menuntut haknya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial, maka mereka digelar sebagai pengguna ‘tongkat’ yang tegar dan gagal untuk berdiri di atas kaki sendiri.

Tetapi apabila wujud organisasi-organisasi dan individu yang memperjuangkan hak dan ideologi songang mereka, seperti LGBT, liberalisme dan cauvinisme, mereka pula dibenarkan atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi.

Dan apabila wujud pihak-pihak yang mempersoal hak keistimewaan Melayu dan mempersenda agama Islam serta Raja-Raja Melayu, dikatakan pula mereka sebagai reformis peneraju Malaysia Baharu.

Jangan sesekali lupa siapa Melayu dari sudut perjuangan.

Semenjak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman hingga sekarang kebanyakan isunya berpunca dari pergeseran pemimpin, bukannya dari bawah.

Bak ikan, kepalanya berbau dan mudarat dahulu dari yang lain.

Bila pemimpin bersengketa, warga di bawah terumbang-ambing mencari kejernihan dalam suasana tiada penjelasan menyeluruh.

Pemimpin-pemimpin politik Melayu mesti balik kepada kebijaksanaan perumpaan jarum – bila menusuk, ia menaub.

Bukan seperti gunting, bila ke depan ia memotong.

Tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Jangan biarkan orang sekeliling jadi `penasihat’ yang membodek.

Jangan ada `tukang-tukang amin’ yang tidak memperbetulkan langkah-langkah sumbang pemimpin.

Sesekali, renungkanlah kata-kata hikmah Presiden Amerika Syarikat ke-33 (1945-1953), Harry S. Truman ini: “Kamu tidak mungkin kaya-raya dalam politik melainkan kamu jadi ahli politik jahat.” – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button