fbpx
Mahkamah

Musa Aman bersyukur bebas 46 tuduhan, anggap sebagai ujian

BEKAS Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersyukur kerana Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan beliau daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Musa berkata, dengan izin Allah beliau akhirnya diberika keadilan untuk membersihkan segala tuduhan yang dibuat ke atas dirinya selama ini.

“Sesungguhnya Allah Maha Adil dan janjiNya itu benar dan pasti bagi hambanya yang sabar.

“Apa yang telah berlaku kepada saya dan keluarga, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, saya anggap sebagai ujian dan dugaan Tuhan buat kami sekeluarga.

“Terima kasih kepada semua keluarga saya yang sentiasa bersama dan bersabar serta sentiasa mendoakan sepanjang dugaan ini,” kata Musa dalam satu kenyataan hari ini.


Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan membebaskan Musa selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa kemudian memohon mahkamah untuk melepas dan membebaskan anak guamnya bagi mengelakkan daripada tuduhan tergantung.

Berikutan itu, Muhammad Jamil mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan.

Bagi kes rasuah, Musa, 69, menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Bagi kes pengubahan wang haram, pertuduhan pertama dan ke-16, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Beliau juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh manakala bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima AS$2.5 juta atas sebab sama.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button