MahkamahUncategorized

Saksi kes Zahid bertelagah dengan pihak pendakwa

PIHAK pendakwaan kes babitkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan saksinya sendiri, apabila saksi berkenaan bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa urusan penganugerahan projek membekal cip pasport adalah mengikut prosedur biasa.

Gan Peng Kun menyoal kembali saksi pendakwaan ke-91 Mohd Hizar Farhan Abdul Razi, selepas saksi berkenaan bersetuju dengan peguam bela Datuk Zaidi Zainal bahawa pemberian projek kepada Datasonic Group Bhd (DGB) adalah dibuat oleh Kementerian Kewangan dan bukannya Kementerian Dalam Negeri.

Menurut Zaidi, Ahmad Zahid selaku menteri dalam negeri ketika itu hanya mencadangkan supaya syarikat berkenaan diberi kontrak secara rundingan terus untuk bekalan tambahan cip, setelah bekalan pasport antarabangsa di Malaysia tidak mencukupi.

Tambah beliau, pada kebiasaannya membabitkan projek keselamatan negara, iaitu termasuk pasport antarabangsa, ia tidak dibuat secara tender terbuka.

Zaidi turut memaklumkan mahkamah hari ini bahawa ketika soal balas saksi Pengarah Datasonic Group Bhd (DGB) Chew Ben Ben telah menyatakan penyerahan dua cek yang keseluruhan nilainya RM6 juta tiada kaitan dengan penganugerahan projek diberikan kepada syarikat berkenaan.

Tambah Zaidi, seorang lagi saksi Pengarah DGB, Datuk Abu Hanifah Noordin turut menyatakan bahawa pemberian cek itu juga tiada kaitan dengan projek diperolehi kerana beliau memberi cek berkenaan adalah selepas dua tahun kontrak diperolehi.

Ketika ditanya apakah saksi ke-91 itu yang menyiasat kes berkenaan mengetahui kedua-dua saksi utama pendakwaan sebelum ini menyatakan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid adalah fitnah, Mohd Hizar Farhan mengakui dia tidak tahu.

Mohd Hizar Farhan bagaimanapun tidak bersetuju bahawa dua dakwaan  terhadap tertuduh adalah tidak berasas.

DGB merupakan sebuah syarikat induk yang mana di bawahnya ada beberapa anak syarikat antaranya syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB).

DTSB dianugerahkan kontrak pembekalan cip pasport pada 2015 untuk tempoh selama 5 tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate pasport Malaysia antarabangsa.

Mahkamah turut dimaklumkan oleh pihak pembelaan bahawa kontrak berkenaan diberikan kepada DTSB, selepas cip dan pasport dibekalkan oleh Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN) dan Iris Corporation bermasalah.

Gan yang menyoal kembali saksi ke-91 mengapa beliau bersetuju dengan pembelaan bahawa hanya Kementerian Kewangan (MOF) yang boleh meluluskan projek rundingan terus kerajaan.

Saksi tetap menyatakan bahawa memang MOF yang berikan projek rundingan terus walaupun ditanya pihak pendakwa berulang kali.

Pendakwa juga menyoal kembali saksi berkenaan kerana beliau bersetuju bahawa tatacara pemberian kontrak adalah mengikut prosedur.

Saksi juga berkali-kali memberitahu mahkamah bahawa dia tidak faham soalan pendakwaan, setelah disoal berkali-kali berikutan dia menyatakan bersetuju dengan pandangan pihak pembelaan.

“MOF hantar surat kepada KDN dan KDN telah mengambil tindakan,” kata saksi.

Ketika ditanya oleh Gan jika saksi ada mengetahui ada sesuatu yang tidak mengikut prosedur dalam pemberian kontrak itu, saksi berkata tidak.

Termasuk Mohd Hizar Farhan, tiga orang pegawai penyiasat kes Ahmad Zahid hadir memberikan keterangan hari ini, iaitu Fairul Rafiq Hamirudin (saksi ke-89) dan Mohd Zamri Abdul Rashid (saksi ke-92).

Ketika ditanya semula oleh peguam bela mengapa saksi menyatakan kelulusan rundingan terus projek berkenaan oleh MOF adalah kerana dicadangkan oleh tertuduh, Mohd Hizar Farhan menjelaskan pandangan itu berasaskan Ahmad Zahid ketika itu merupakan menteri dalam negeri dan bukan berdasarkan mana-mana peraturan atau pekeliling kerajaan.

Perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan bersambung esok.

(Visited 1,125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button