MahkamahNasional

5 dipenjara seumur hidup kerana culik pengurup wang

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan lima lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah menculik seorang pengurup wang di Pulang Pinang pada tahun 2016.

Hakim Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman penjara tersebut serta 10 sebatan setiap seorang ke atas T Shasitaran, 38; M Ashogan, 39; Muhamad Sultan Ahmad Kabil, 43; Ong Shan Chia, 37; dan Yoh Shyh Ming, 33.

Kesemua mereka telah ditahan di dalam penjara sejak ditangkap pada 3 Oktober 2016 lalu.

Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Mereka terlepas daripada hukuman mati kerana hakim berpendapat tiada keganasan keterlaluan dilakukan terhadap mangsa, Hawazanajmi K Shahapudeen, 66.

“Mangsa hanya digari dan ibu jarinya tercedera. Atas pertimbangan itu, saya memerintahkan semua tertuduh dihukum penjara seumur hidup bermula dari tarikh tangkapan.

“Hukuman sebat adalah mandatori, oleh sebab itu saya (turut) memerintahkan agar mereka dihukum 10 sebatan setiap seorang,” katanya.

Menurut fakta kes, mangsa diculik di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 28 September 2016. Mangsa diculik selama beberapa hari dan tertuduh meminta wang tebusan RM3 juta daripada keluarga mangsa.

Bagaimanapun polis berjaya mengesan semua tertuduh dan menangkap mereka sebelum dibicarakan di Pulau Pinang.

Keputusan kes itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Akhtar berpindah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Tertuduh diwakili peguam K Thangasvaran, Anthony Chew, R Dev Chander dan Ravi Chandran manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar. – FMT – SM

(Visited 288 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button