Ekonomi

COVID-19: Mulakan projek solar atas empangan untuk wujudkan pekerjaan

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar kerajaan menggunakan masa krisis COVID-19 untuk membina lebih banyak stesyen janakuasa solar di atas empangan atau tasik.

Menurut Najib, Malaysia mempunyai peluang untuk memulakan projek solar berskala besar kerana kebanyakkan bahan asas dihasilkan dalam negara.

Jelas beliau, projek berkenaan akan membuka banyak peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi di merata tempat di Malaysia dan boleh menyerap keperluaan pekerjaan yang hilang akibat krisis COVID-19.

“Oleh kerana kos mengeluarkan setiap kW/jam solar sudah jatuh dengan ketara sejak sepuluh tahun lalu dan kadar pembelian elektrik dalam perjanjian pembelian jangka masa panjang adalah dalam tangan kerajaan dengan TNB, maka keuntungan projek solar berskala besar boleh dijamin.

“Pelabur-pelabur seperti tabung-tabung amanah seperti KWSP, TH, PNB dan pihak swasta boleh diajak untuk melabur dalam projek ini kerana jaminan keuntungan jangka masa panjang ini,” jelas Najib.

Menurut Najib, apabila projek berkenaan siap negara boleh menikmati kos elektrik yang lebih rendah dan Malaysia boleh mengurangkan import arang batu dan mengurangkan pencemaran udara pada masa depan.

Najib berkata, Malaysia ketika ini adalah pengeluar panel solar ketiga terbesar di dunia selepas China dan Taiwan.

Kilang panel solar pertama di Malaysia bermula pada 2008 dan sejak itu banyak kilang solar memulakan operasi termasuk di Pulau Pinang, Ipoh, Sarawak, Kedah, Melaka dan Cyberjaya.

Kilang-kilang panel solar berkenaan mewujudkan berpuluh ribu peluang pekerjaan dengan nilai eksport berbilion setahun.

Malah menurut Najib, Malaysia mempunyai bahan mentah untuk membuat panel solarnya sendiri iaitu nadir bumi Neodymium.

Kilang Lynas di Kuantan merupakan pengeluar kedua terbesar Neodymium di dunia. Lynas juga mengeluarkan nadir bumi lain bagi penggunaan produk berteknologi tinggi termasuk elektronik.

“Sebenarnya, Malaysia kini dalam kedudukan baik sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.

“Inisiatif ini dimulakan ketika pentadbiran saya melalui perlaksanaan Pelan Induk Teknologi Hijau di mana terdapat banyak insiatif lain turut dilaksanakan,” kata Najib.

Menurut Najib, banyak negara kini membina ‘ladang’ solar di empangan air bagi menjana elektrik.

Pendekatan itu diambil kerana mengurangkan kegunaan tanah fizikal, kawasan empangan air itu juga  mempunyai sistem keselamatan dan dipantau.

Selain itu sistem penyejukan semulajadi dari empangan itu sendiri dapat meningkatkan keberkesanan penjana elektrik ini dan mengurangkan penyejatan hingga 80 peratus.-SM

(Visited 707 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button