Ekonomi

Perkembangan positif tenaga diperbahurui Asia Pasifik, orang terkaya Australia mahu eksport tenaga solar ke Singapura

Dua orang terkaya di Australia, iaitu pengasas bersama Atlassian Corp Mike Cannon-Brookes dan Pengerusi Kumpulan Fortescue Metals Andrew Forrest, melabur dalam projek besar untuk mengeksport tenaga solar dari kilang gergasi di Australia ke Singapura melalui kabel penghantaran sepanjang 4,500km.

Bloomberg melaporkan projek itu menghasilkan puluhan juta dolar Australia yang membolehkan ia melaksanakan kerja pembangunan menjelang akhir 2023, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sun Cable David Griffin.

Rancangan ini menggabungkan kemudahan solar 10-gigawatt, yang dikatakan syarikat itu akan menjadi terbesar di dunia, serta penyimpanan bateri.

“Setiap elemen ini mendorong batas-batas kejuruteraan, tetapi tidak mustahil,” kata Cannon-Brookes, seorang penggiat untuk tenaga bersih di Sydney.

“Pada tahap global, ini akan menjadi inovatif untuk bertahun-tahun akan datang.”

Jumlah kos modal dijangka sekitar A$ 20 bilion, dengan operasi komersial disasarkan untuk bermula pada tahun 2027.

Projek ini boleh memenuhi seperempat keperluan tenaga Singapura, dan membantu mengurangkan pergantungan kepada import gas asli.

Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dalam memanfaatkan perkembangan positif itu turut mengambil inisiatif memajukan penjanaan tenaga solar secara besar-besaran.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, negara menuju ke arah masa depan yang kurang bergantung kepada tenaga bahan bakar, dengan melancarkan pembidaan terbuka untuk projek menjana kuasa solar secara besar-besaran.

Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga menawar jumlah kapasiti pengeluaran tenaga sebanyak 500MW di pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia.

Bagi memahami serta merealisasikan inisiatif itu Bee Yin baru-baru ini melawat ke Projek Solar Berskala Besar 1 Kompleks Hijau Solar Gading Kencana di Bidor. Pemasangan solar 30MW ini merupakan projek di bawah program LSS1 yang telah mula operasi pada November 2018.

Kompleks ini telah memberi lebih daripada 300 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan dilengkapi dengan lebih 90% peralatan tempatan. Dalam tempoh operasi 21 tahun, pemasangan itu mampu mengurangkan pelepasan karbon negara sebanyak 760 juta tan.

“Saya akan terus membuat lawatan ke projek-projek di bawah MESTECC dan sedia mendengar untuk memahami bagaimana polisi kerajaan memberi impak kepada pengusaha dan masyarakat setempat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Sebelum ini Bee Yin ketika berucap pada satu persidangan di Singapura berkata, perkembangan menggalakkan ditunjukkan oleh industri solar ekoran kos penjanaan tenaga alternatif itu lebih rendah di negara ini pada masa ini.

Bee Yin berkata,  buat pertama kali dalam sejarah negara penjanaan kuasa tenaga solar dapat dibangunkan secara besar-besaran kerana kos yang lebih rendah.

Bercakap pada Minggu Tenaga Antarabangsa di Singapura, beliau berkata, akhirnya Malaysia dapat menghasilkan tenaga menggunakan kaedah alternatif dan lebih murah daripada menggunakan minyak, ketika permintaan untuk tenaga sedang memuncak.

Malaysia, katanya, menyasarkan peningkatan tenaga boleh diperbaharui dari 6 peratus kepada 20 peratus pada tahun 2025 dan akan dijana oleh tenaga solar.

(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button