fbpx
Belang Bertempat

Muhasabahlah diri, kekalkan penyandang menang tiket UMNO

INI bukan Belang yang cakap ya. Ada orang di luar sana itu yang minta Belang sampaikan. Serius kata dia pada Belang. Tolong sampaikan.

Katanya, dia dan rakan-rakan masih sayangkan UMNO dan yakin kepada parti itu yang dia percaya masih menjadi sandaran kepada orang Melayu untuk bergantung harap memperjuangkan hak-hak pada masa depan.

Belang tak pasti apa ‘hak-hak Melayu’ yang diutarakan itu kerana perlembagaan pun sudah memaktubkan hak-hak istimewa dan kedudukan orang Melayu. Dia bagaimanapun tidak menghuraikan tetapi pendek kata, dia dan rakan sayangkan UMNO.

Yang dia dan rakan-rakan mahu bangkitkan dalam kolum Belang ini adalah berhubung kebimbangannya terhadap pendirian UMNO yang tetap mahukan kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi oleh orang-orang Bersatu atas tiket UMNO sebelum mereka lompat parti, dikembalikan ke pangkuan. Tiada kompromi! Serahkan balik.

Semua maklum, ia tentu melibatkan kerusi-kerusi Parlimen Larut, Mersing, Tasek Gelugor, Masjid Tanah dan beberapa lagi. Kalau Belang tak silap, untuk kerusi Parlimen sahaja, dianggarkan antara 12 hingga 13 kerusi dalam tuntutan ini.

Sepatutnya, kata dia dan rakan-rakannya, formula yang bagus adalah siapa yang menang kerusi Parlimen atau DUN tempoh hari – penyandang – atas tiket UMNO dikekalkan bertanding di kerusinya.

Ini terutama yang berjawatan seperti naib-naib presiden dan setiausaha agung. Ringkasnya, yang menang naib presiden Bersatu baru-baru ini kekalkanlah -Ronald Kiandee dan Hamzah Zainuddin (Larut).

Mengenai Radzi Jidin yang menang naib presiden tetapi kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-14, carilah kerusi yang sesuai di Kelantan untuk dicalonkan.

Kata dia dan rakan-rakannya, apa salahnya UMNO berundur selangkah demi dua tiga tapak ke hadapan untuk manfaat yang lebih besar. Taktikal.

UMNO harus beringat, katanya, politik hari ini tidak sama seperti selepas PRU-14. Tiada lagi gabungan (coalition) politik yang kuat, waima Perikatan Nasional, Pakatan Harapan mahupun Gabungan Parti Sarawak dan coalition parti sebelah Sabah – sekutu-sekutu Warisan atau pun gabungan UMNO-Bersatu-PBRS, MCA, PBS atau lain-lain lagi.

Dan tidak ada lagi parti-parti yang dominan mendapat tempat di hati rakyat kala ini, seperti mana 10 tahun sudah.

UMNO barangkali selesa Pas bersamanya. Ini dibuktikan dengan kemenangan 7-0 berturut-turut pilihan raya kecil (Belang tolak kerusi Sandakan yang dimenangi DAP) menerusi Muafakat Nasional UMNO-Pas.

Tetapi apa kata, secara tiba-tiba pula Pas beralih arah meninggalkan UMNO dan duduk bersama dengan Bersatu.

Kata dia kepada Belang lagi, dia perasan juga Pas kini kelihatan ‘selesa’ bersama Bersatu.

Jangan sampai UMNO kata “aku kuat, aku kuat”, tiba-tiba masuk gelanggang PRU-15 bersendirian.

Macam PRK Slim baru-baru ini, Belang dimaklumkan olehnya, UMNO boleh mudah-mudah ketepikan Bersatu bahagian di sana, sebelum ada pihak meredakan sedikit keadaan.

Justeru, dia dan rakan-rakannya berharap UMNO dapat memikirkan semula pendiriannya – tetap mahukan kerusi-kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO, dipulangkan balik.-SM

Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!