Belang Bertempat

Azmin ke Bersatukah atau blok bebas Mahathir?

SEJAK Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membawa keluar sekumpulan ahli Parlimen PKR pada 24 Februari lalu, semua tertanya-tanya ke mana hala tuju bekas Timbalan Presiden PKR itu menjelang pilihan raya umum ke-15 nanti.

Apatah lagi, PRU-15 ini disebut-sebut akan diadakan mengejut (snap election) Disember tahun ini. Masuk Parti Bersatukah Ahli Parlimen Gombak ini? Atau tubuh parti baharu?

Azmin ketika itu berserta Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dikatakan `turut membawa keluar’ sembilan lagi ahli parlimen PKR iaitu  Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan
Jonathan Yasin (Ranau).

Mereka membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Justeru, andai kata Azmin mahu menyelamatkan karier politiknya dengan menyertai Pas atau UMNO, mahukah dua parti terbesar orang Melayu itu menerima beliau?

Bagaimanapun Azmin boleh `fight’ untuk nilai diri dan 10 ahli kumpulannya memandangkan waktu politik membahang ini, dengan kedudukan goyah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mereka memerlukan pelompat parti.

Bahkan, di Parlimen Gombak nanti dalam PRU-15, Azmin sendiri akan berdepan cabaran PKR. Beliau memerlukan penyokong dari Pas atau UMNO. Atau lebih tepat lagi Muafakat Nasional (MN).

Kalau menghala ke Bersatu, Azmin sendiri selaku Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) sudahpun meraih kepercayaan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sendiri memperakukan bahawa Azmin akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet jika Perdana Menteri tiada dalam negara. Selain Azmin, menteri kanan lain adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Keselamatan/Menteri Pertahanan); Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Azmin dipercayai boleh bila-bila masa `terbang’ ke Bersatu. Kecil tapak tangan,nyiru Presiden Bersatu tadahkan.

Adakah Azmin waktu ini mengambil sikap bertahan? Memerhati atau melihat `laba politik’, barangkali sama dengan mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lima Ahli Parlimen lain yang mengambil langkah membentuk blok Bebas dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Selain Dr. Mahathir selaku Ahli Parlimen Langkawi, lima Ahli Parlimen yang mengambil langkah itu ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar). Turut bersamanya, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Datuk Dr Shahruddin Salleh (Sri Gading).

Lima daripada mereka termasuk Dr Mahathir sebelum ini digugurkan keahlian daripada Bersatu. Apa pun, pemerhati menyifatkan Azmin bukan sembarangan politikus.

Kalau dilihat Azmin antara kejayaannya dalam Kabinet adalah pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diketuainya semasa dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Malah, boleh dilihat Azmin dari segi ketangkasan kepimpinan. Kesetiaannya kepada PKR di kala sukar di era reformasi 20 tahun lepas sukar dicari seperti dalam politik hari ini.

Pada awal 1999 lagi selepas Anwar dipecat dari UMNO dan kerajaan, Azmin sebenarnya mempunyai pilihan untuk meninggalkan Anwar. Tapi beliau tidak mengambil `peluang keemasan’ itu.

Dari aspek kepimpinan, Azmin menunjukkan wibawanya selepas menyandang jawatan Menteri Besar Selangor.

Azmin membuktikan beliau tahan lasak diuji. Ketika PRU-14 menyaksikan cabaran getir dengan persaingan tiga penjurunya, persempadanan semula bahagian pilihan raya, malah ada kelibat `Jamal’ manakala sungguhpun musuh ketatnya, Tan Sri Noh Omar yang kembali dilantik menteri agresif `meredah’ penempatan-penempatan PPR di negeri itu yang dikatakan dianaktirikan, Azmin tidak mengalah, bahkan memperlihatkan `taringnya’.

Hasilnya, UMNO-BN Selangor dimalukan lebih teruk lagi 9 Mei 2018, dengan cuma terdaya meraih empat kerusi Dewan Undangan Negeri dari 56, sementara dua kerusi Parlimen sahaja diperoleh daripada keseluruhan 22.

Demikianlah `penangan’ Azmin.

Apakah penangan itu akan dilihat kembali dalam Azmin menentukan halatuju politiknya – menyertai Bersatu, UMNO atau PKR? Atau barangkali membentuk parti baharu bersama Dr. Mahathir mendepani cabaran getir PRU-15?- SM

(Visited 352 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button