Belang Bertempat

Palestin, protes dan PKP

Oleh Isham Jalil

RAMAI rakyat negara-negara lain di dunia yang menyokong perjuangan Palestin dan memprotes kekejaman Israel.

Menurut Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, dalam minggu ini terdapat lebih daripada 20 protes di seluruh dunia termasuk di negara-negara barat seperti United Kingdom (UK), Kanada, Jerman, Belgium, Sepanyol, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Beribu-ribu rakyat mereka turun ke jalanan dan berarak untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka kepada Israel dan untuk memaksa kerajaan-kerajaan mereka supaya memberikan tekanan kepada Israel, tulis Isham.

Ikuti catatan Isham seterusnya:

Mereka ke jalanan untuk menggunakan kuasa dan tekanan politik untuk mengubah keadaan kerana dalam hal ini tekanan ketenteraan dan tekanan undang-undang ke atas Israel hanya akan didorong oleh tekanan politik oleh kerajaan-kerajaan mereka.

Israel tidak takut kepada ugutan militan dan keganasan seperti selama ini, bahkan mereka menggunakan tekanan militan dan keganasan ini sebagai bahan untuk menunjukkan kononnya mereka (Israel) adalah mangsa kepada keganasan dan bukan sebaliknya.

Pada pertengahan konflik ini dahulu iaitu pada tahun 1970an, Mesir, Syria dan Jordan serta negara-negara Arab yang lain telah menghantar beratus ribu bala tentera dan kereta-kereta kebal untuk menghalau Israel dari Palestin dalam perang Yom Kippur.

Namun ia tidak berjaya menghalau Israel. Israel masih tidak keluar dan mereka telah menduduki Palestin sehingga kini malah lebih banyak kawasan-kawasan Palestin yang diduduki oleh mereka secara haram.

Israel mempunyai kelengkapan perang yang lengkap dan moden berbanding rakyat Palestin yang kebanyakannya hanya mampu membaling batu.

Perang antara Israel dan Palestin ini bukanlah suatu perang yang berkadaran (proportionate); sebab itu sejak sebulan yang lalu hanya 12 orang Israel yang mati berbanding 227 orang termasuk 100 orang kanak-kanak Palestin yang terbunuh.

Jika perang ini meningkat (escalate) maka dianggarkan lebih ramai rakyat Palestin akan mati dulu berbanding tentera Israel atau tentera luar.

Cara kedua selain pilihan meningkatkan situasi ketenteraan (escalation) ialah tindakan undang-undang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Namun cara ini memakan masa yang panjang. Hampir kesemua kes yang dibawa ke ICC dan ICJ telah dibawa selepas perang atau selepas keganasan berlaku apabila ramai orang telah mati.

Tindakan ICC dan ICJ tidak pernah menamatkan perang atau krisis keganasan tetapi untuk menghukum penjenayah perang yang kebanyakannya telah kalah perang apabila perang tamat.

Oleh itu cara peningkatan perang (escalation) dan tekanan undang-undang antarabangsa bukanlah pilihan yang optimum pada ketika ini.

Sebab itu sebelum ini saya telah membuat saranan supaya sekatan (sanction) samada ekonomi atau ketenteraan dikenakan ke atas Israel.

Kekuatan ketenteraan Israel sebenarnya didokong oleh dua faktor, iaitu sokongan politik daripada negara-negara besar dan juga kekuatan ekonomi di mana mereka berniaga dengan hampir semua negara-negara di dunia.

Jika mereka tidak ada wang, mereka tidak boleh bina atau beli kereta kebal dan senjata.

Hanya dengan cara sekatan ini sahaja yang boleh memaksa Israel untuk gencatan senjata mahupun berunding atau berundur daripada tanah-tanah yang diduduki oleh mereka secara haram terutama di Tebing Barat dan di Sheikh Jarrah.

Sekatan ini hanya boleh dikenakan oleh kerajaan-kerajaan dan komuniti antarabangsa.

Sebab itu tindakan rakyat di seluruh dunia yang pergi ke jalanan memprotes keganasan Israel terhadap Palestin adalah suatu tindakan politik yang boleh mengubah keadaan.

Kerana ia boleh mendorong pemimpin-pemimpin kerajaan mereka supaya mengenakan tindakan ke atas Israel; jika ada cukup tekanan daripada komuniti antarabangsa, maka sekatan akan dikenakan dan Israel terpaksa akur.

Ini kerana Israel tidak boleh hidup seorang diri di dunia ini, mereka perlukan sokongan politik dan ekonomi antarabangsa seperti semua negara-negara lain.

Walaupun rakyat di banyak negara di dunia telah ke jalanan untuk memprotes, rakyat Malaysia masih tidak boleh berbuat demikian kerana keadaan Covid-19 di Malaysia masih teruk.

Di banyak negara-negara lain, keadaan wabak Covid-19 telah terkawal dan kadar vaksinasi mereka adalah tinggi.

Contohnya di Amerika Syarikat, kadar vaksinasi mereka telah mencapai lebih 40%, lebih seratus juta rakyat mereka telah divaksinasi dan kes-kes Covid-19 semakin turun dan reda.

Mereka dijangka akan mencapai tahap imunisasi kelompok (herd immunity) dalam beberapa bulan lagi.

Namun di Malaysia, keadaan Covid-19 semakin teruk dan tidak nampak penghujungnya, kadar vaksinasi kita adalah antara yang terendah dengan hanya tidak sampai 3% daripada rakyat Malaysia yang telah divaksinasi.

Hari ini kerajaan akan membuat keputusan sama ada akan melaksanakan PKP secara total lagi (total lockdown).

Ini sudah kali ketiga kita di kitaran PKP ini tetapi wabak Covid-19 ini tidak turun-turun malah semakin buruk berbanding negara-negara lain.

Sebenarnya, jika dasar kita betul dan tidak flip-flop dahulu, kita mungkin telah boleh menyambut Hari Raya tanpa PKP dan boleh memprotes kekejaman Israel di jalanan seperti negara-negara lain kini.

Semoga Allah SWT membuka kita jalan dan memberikan kita kekuatan untuk merubah keadaan ini. – SM

 

(Visited 417 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button