Politik

MN: Tuan Man ingatkan jangan menang sorak kampung tergadai

TIMBALAN Presiden Pas Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim mengingatkan rakannya dalam Muafakat Nasional supaya tidak mengalami nasib ‘menang sorak kampung tergadai’.

Beliau mempersoalkan mengapa rakan dalam Muafakat Nasional melupai asas pembentukan gagasan tersebut.

“Apakah kita rasa cahaya dihujung terowong yang dilihat cerah, maka lampu ditangan perlu dibuang.

“Apakah bila hujan berhenti, maka payung perlu dicampakkan. Hebatkah kita kerana merasai kita kuat dengan ahli berjuta, lalu kita rasa dahulu sama dengan sekarang.

“Apakah dua parti lebih baik dari tiga kerana mendapat lebih banyak kerusi untuk bertanding, lalu kita berangan-angan akan pasti menang,” katanya memberi ingatan.


Kenyataan itu dibuat selepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakannya dalam MN supaya kembali kepada Muafakat Nasional yang asal.

Menurut Tuan Man, Muafakat Nasional diasaskan ketika Pas dan UMNO menjadi pembangkang.

Dalam pembentukan MN dinyatakan dengan jelas bahawa Pas dan UMNO adalah teras namun sedia menerima mana-mana parti politik atau NGO yang ingin bersama dalam usaha memperkukuhkan penyatuan ummah.

Bagi PAS ketika ini asas pembentukan Muafakat Nasional harus dilihat dalam kerangka semasa.

“Maka kini ramai pihak meluahkan usaha agar MN diperkukuhkan antara dua parti sahaja. Namun bagi PAS, asas pembentukan harus dilihat dalam kerangka semasa, bukan kerangka sebelum pembentukan Kerajaan PN.

“Kalau semua kita sepakat membentuk Kerajaan PN dan kita berjaya menumbangkan PH, dan kita tidak kisahpun soal kerusi yang lompat pada masa itu, kita gembira atas muafakat ini dan rakyat juga gembira atas apa yang telah kita lakukan, kenapa kerjasama ini perlu dipisahkan.

“Kenapa kini kita hilang pertimbangan dengan melupai asas pembentukan MN waktu kita jadi pembangkang dan tidak menghargai situasi kini yang kita dapat bentuk kerajaan bersama.

Tuan Man turut mendedahkan bahawa surat persetujuan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional tidak disambut selepas UMNO kecewa dengan pendaftaran Perikatan Nasional sebagai sebuah parti politik.

Walaupun menurutnya, persetujuan itu dibuat atas jemputan Ahmad Zahid dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Dalam beberapa siri mesyuarat Muafakat Nasional kita sedia menerima Bersatu menjadi rakan dalam MN.

“Kedua-dua Presiden telah mengutus surat menjemput Bersatu menyertai gabungan ini, dan Bersatu telah menyatakan persetujuan ke arah itu.

“Sayangnya surat persetujuan itu tidak disambut sehingga kini. Ia terjadi kerana UMNO kecewa bila PN didaftarkan sebagai gabungan parti,” katanya.

PAS tetap berpendirian bahawa Muafakat antara tiga parti termasuk UMNO dan Bersatu adalah jalan terbaik.-SM

 

 

(Visited 215 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button